AM

BOT TERBALIK DI SEGENTING, EMPAT NELAYAN HILANG

22/06/2024 12:59 PM

BATU PAHAT, 22 Jun (Bernama) -- Empat nelayan warga tempatan hilang manakala seorang lagi ditemukan selamat setelah bot yang mereka naiki terbalik kira-kira 6.8 batu nautika barat daya Tanjung Segenting di sini semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Komander Maritim Mohd Hanis Mohd Yunus berkata kejadian itu melibatkan nelayan berusia antara 43 hingga 63 tahun dan bot mereka terbalik akibat ombak besar sekitar 6 pagi.

Beliau berkata pihak Maritim menerusi Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Op CARILAMAT) semua mangsa setelah menerima aduan daripada orang awam.

“Maklumat awal kejadian, bot nelayan itu dinaiki oleh lima orang kru keluar ke laut untuk memukat ikan, namun cuaca buruk dan ombak besar menyebabkan bot terbalik seterusnya tenggelam.

“Sejurus menerima maklumat itu, MRSC Johor Bahru mengaktifkan Op CARILAMAT pada 9 pagi dan Bot Penggalang 30 dari Zon Maritim Batu Pahat diatur gerak ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Mohd Hanis sebaik tiba di lokasi kejadian pihaknya mendapati bot nelayan itu kelihatan hampir tenggelam sepenuhnya.

Beliau berkata seorang mangsa berusia 43 tahun diselamatkan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk mendapatkan rawatan.

“Operasi pencarian diperluaskan dengan penambahan radius kawasan kepada 23 batu nautika persegi.

“Selain Maritim Malaysia, operasi itu juga dibantu Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan