AM

KEMENTERIAN KOMUNIKASI, FINAS TINGKAT USAHA JAGA KEBAJIKAN ARTIS VETERAN

22/06/2024 06:33 PM

NIBONG TEBAL, 22 Jun (Bernama) -- Kementerian Komunikasi khususnya menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) akan meningkatkan usaha dalam menjaga kebajikan artis veteran.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Finas kini lebih proaktif dalam mengusahakan isu kebajikan bagi mereka yang terlibat dalam bidang perfileman.

"Kita selalu raikan para pelakon sewaktu mereka berada di kemuncak kerjaya mereka namun para veteran yang uzur dan tidak sihat juga perlu disantuni.

"Mesej yang disampaikan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah para veteran tidak kira dalam bidang apa perlu dibantu dan dipertingkatkan kebajikan mereka," katanya kepada wartawan selepas menyampaikan sijil kepada peserta Bengkel Asas Media Sosial di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Finas Datuk Azmir Saifuddin Mutalib. 

Fahmi berkata bengkel tiga hari itu bertujuan meningkatkan kemahiran dalam penciptaan kandungan di media sosial dan dikelolakan oleh Finas di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Sungai Bakap.

Beliau berkata penghasilan kandungan yang bagus di media sosial mampu menjana pendapatan sama ada daripada penjualan produk atau menjadi pempengaruh.

"Sebelum ini Finas banyak mengadakan bengkel untuk tujuan pembikinan filem namun kini mereka juga banyak mengadakan bengkel yang melibatkan penggunaan peralatan digital termasuk telefon pintar.

"Saya harap semua 46 peserta yang menghadiri bengkel ini boleh mengamalkan segala ilmu, membuat kandungan yang memikat hati penonton dan menjana pendapatan untuk mereka," katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan