AM

KKM RANCANG DIGITALKAN BUKU DERMA DARAH - KP KESIHATAN

22/06/2024 06:38 PM

IPOH, 22 Jun (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) sedang merancang mendigitalkan buku pendermaan darah bagi menambah baik kemudahan berkenaan sebagai satu daripada usaha untuk menarik lebih ramai penderma dalam kalangan orang muda.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata melalui aplikasi itu, penderma darah dapat mengakses rekod pendermaan mereka dengan lebih mudah dan pantas. 

"Mereka (penderma darah) juga dapat memantau tarikh pendermaan terakhir, tarikh pendermaan darah seterusnya, maklumat mengenai pendermaan terkini, lokasi pendermaan darah dan kempen pendermaan darah bergerak.

"Pada masa hadapan, aplikasi ini juga membolehkan para penderma darah membuat janji temu untuk aktiviti pendermaan darah mereka. la lebih fleksibel dan mesra pengguna," katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024 di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak A. Sivanesan dan Pengarah Pusat Darah Negara Dr Mohamad Masrin Md Zahrin.

Dalam pada itu, Dr Muhammad Radzi berkata pihaknya menyasarkan golongan muda berusia 17 hingga 24 tahun sebagai pelapis penderma darah yang baharu.

Beliau berkata hal itu kerana pihaknya menyasarkan 3.5 peratus jumlah penduduk di negara ini ialah penderma darah menjelang 2030, berbanding ketika ini hanya 2.3 peratus.

Katanya, kumpulan penderma darah yang kecil akan semakin berkurangan disebabkan peningkatan usia dan faktor-faktor lain sekiranya tiada penglibatan yang lebih daripada masyarakat.

Sementara itu, penerima Anugerah Penderma Darah Jenis Jarang Jumpa Nazran Mohd Nawawi, 47, dari Puncak Alam, Selangor telah menderma darah lebih 300 kali sejak 1995.

Nazran yang mempunyai darah jenis O berkata darahnya dikategorikan jarang jumpa disebabkan keistimewaan pada jenis platelet yang terkandung dalam darahnya yang sangat diperlukan bagi individu yang menghidap penyakit tertentu.

"Kira-kira tiga tahun lepas saya dimaklumkan kakitangan perubatan makmal darah di Kuala Lumpur hanya ada dua individu termasuk saya yang mempunyai darah sedemikian.

"Saya diberitahu darah macam saya susah didapati, ia sangat diperlukan oleh pesakit yang menghidap jenis penyakit yang jarang berlaku," katanya yang merupakan pekerja di sebuah hotel.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan