AM

SERTAI BRICS LANGKAH TEPAT OLEH MALAYSIA

23/06/2024 10:10 AM

Oleh Wong Chun Wai

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Selaras dengan perubahan dalam landskap global semasa, langkah Malaysia untuk menganggotai BRICS, sebuah perkumpulan geo-politik terbesar dan paling berpengaruh, sememangnya langkah yang tepat.

Perkumpulan itu diasaskan negara Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan, yang membentuk akronim BRICS, namun keanggotaannya terus berkembang dengan pantas apabila banyak negara mencari platform multipolar.

Minggu lepas Thailand mengemukakan permintaan rasminya untuk menyertai perkumpulan ekonomi sedang pesat membangun itu.

Thailand dilaporkan berharap dapat menyertai perkumpulan itu pada sidang kemuncak BRICS seterusnya di Rusia pada Oktober, yang akan menjadikan ia sebagai negara ASEAN pertama yang menganggotainya.

Bagaimanapun penyertaan Malaysia dalam BRICS akan menjadi lebih signifikan memandangkan ia akan menjadi Pengerusi Asean tahun depan.

Melihat kepada pengaruh dan ketokohan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat global, pastinya ia bertambah signifikan lagi.

Negara anggota baharu BRICS kini termasuk Arab Saudi, Iran, Ethiopia, Mesir serta Emiriah Arab Bersatu, dan kini lebih 30 negara telah menyatakan minat untuk turut sama menyertai perkumpulan itu, menurut laporan Reuters minggu lepas.

Bagaimanapun ada juga pihak-pihak yang menyuarakan kebimbangan terhadap keputusan Malaysia untuk menyertai BRICS, kumpulan yang mereka katakan dipelopori oleh Rusia dan China.

Mereka melihat dua negara ini yang telah mencabar orde dunia yang diterajui Amerika Syarikat dan sekutu baratnya.

Walaupun kebimbangan ini boleh difahami, ia bukanlah tepat sepenuhnya. 

Contohnya India, yang dianggap ‘rapat’ dengan Barat, di samping sering dilaporkan mempunyai ‘banyak perbezaan’ dengan China, namun ia juga mempunyai reputasi untuk melaksanakan dasar-dasar luar negara yang sangat bebas.

Malaysia telah berulang kali menyatakan bahawa ia tidak akan mengambil sikap berpihak dalam perbalahan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, dan cukup berhati-hati dalam mengendalikan situasi yang sukar itu.

Lagipun Malaysia juga mendapat banyak manfaat daripada perang cip AS-China, contohnya dengan Pulau Pinang menjadi penerima terbesar.

Negeri itu dilaporkan menarik RM60.1 bilion pelaburan asing pada 2023, lebih besar berbanding gabungan jumlah yang diterima dari 2013 hingga 2020.

Sudah tentu Malaysia akan terus mengalu-alukan pelaburan AS ke Malaysia, dan tidak akan melakukan sesuatu yang akan menjejaskan persahabatan itu.

Laporan itu berkata bahawa sekatan yang meluas terhadap teknologi China, terutamanya bagi pembuatan cip, adalah sebab utama yang mengundang tarikan terarah kepada Malaysia yang neutral.

Pada masa yang sama, Malaysia juga sedar bahawa China telah menjadi rakan dagang terbesarnya sejak 40 tahun lepas.

Malaysia seperti negara lain tidak boleh mengabaikan kenyataan bahawa China memiliki Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terbesar dalam kalangan negara-negara BRICS. Apabila digabungkan, blok BRICS mempunyai KDNK lebih besar sedikit daripada AS.

Menurut laporan, BRICS kini menyumbang 37.3 peratus daripada KDNK dunia, atau lebih separuh daripada Kesatuan Eropah pada 14.5 peratus, namun banyak negara anggotanya dilihat semakin kecewa dengan pergantungan terhadap dolar Amerika.

Penyertaan dalam BRICS pastinya akan meluaskan lagi pasaran dan besar kemungkinan membantu mengurangkan pergantungan berlebihan kepada dolar AS untuk urusan perdagangan, dengan penggunaan mata wang tempatan.

Sebagaimana kata ketua ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid kepada Bernama, "ia akan melindungi negara dan rantau ini dengan berkesan daripada perubahan dalam dasar monetari AS dan turun naik mata wang, yang berpotensi meningkatkan kebolehramalan dalam pasaran mata wang dan mengurangkan kos urus niaga bagi pengeksport dan pengimport.

Kemasukan negara anggota baharu pastinya memberikan kelebihan kepada BRICS, namun sebagaimana ASEAN, ia juga berfungsi atas dasar konsensus.

Kemasukan anggota baharu adalah berdasarkan konsensus antara negara-negara anggota. Tidak ada kemasukan automatik, dan Malaysia masih perlu berada dalam senarai menunggu.

Antara kriteria pemilihan untuk Kategori Negara Rakan Kongsi Baharu, termasuk perwakilan yang baik dan hubungan rapat dengan ngara anggota BRICS, kedudukan kukuh dalam politik serantau dan antarabangsa, serta ekonomi, dan tidak mengenakan sebarang sekatan unilateral kepada negara anggota BRICS.

Ia juga bukan berdasarkan ‘siapa cepat dia dapat’, sebaliknya keputusan politik pemimpin negara-negara anggota BRICS perlu diutamakan.

Namun apabila melihat kepada kelayakan Malaysia dan ketokohan Anwar Ibrahim, pastinya kita akan diberi pertimbangan yang paling wajar.

-- BERNAMA

 

*Datuk Seri Wong Chun Wai yang merupakan Pengerusi Bernama, menjadi wartawan sejak lebih 40 tahun.

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan