POLITIK

GERAK KERJA BERFOKUS PERLU UNTUK TAWAN SEMULA FELDA - MOHAMAD

23/06/2024 04:40 PM

JASIN, 23 Jun (Bernama) -- UMNO dan Barisan Nasional (BN) memerlukan satu gerak kerja berfokus sekiranya mahu mengembalikan keyakinan pengundi dan menawan semula sekurang-kurangnya 30 daripada 54 kawasan Parlimen melibatkan tanah rancangan Felda pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata satu kajian dan tindakan kerja yang sesuai mengikut keadaan semasa, diperlukan bagi memastikan perkara tersebut dapat direalisasikan memandangkan Felda kini bukan hanya merangkumi generasi pertama atau peneroka.

“Felda sekarang sudah generasi ketiga, bukan generasi peneroka sahaja lagi yang mana generasi kedua ada yang duduk di bandar, manakala generasi ketiga semuanya sudah di bandar. Jadi attachment tentang semangat atau roh penubuhan Felda itu sudah tidak ada lagi.

“Walaupun pengundi di Felda, tetapi keberadaan mereka dalam masyarakat seperti di bandar atau luar bandar, dan untuk itu kita perlukan cara sesuai mengikut keadaan kerana mereka terdedah dengan pelbagai maklumat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jasin di Dewan Alamanda di sini hari ini.

Beliau berkata kawasan Felda merupakan kubu kuat BN khususnya UMNO sebelum ini dan kehilangan banyak kerusi di kawasan tersebut sejak dua PRU lepas, merupakan satu tamparan hebat kepada parti. 

“Penerangan-penerangan yang betul dan benar perlu, kerana kadang-kadang banyak cerita dan fitnah yang dilemparkan tetapi tidak ditangkis atau dinafikan, sehingga menjadi kebenaran kepada mereka yang tidak tahu cerita sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata sasaran untuk merampas kembali 30 daripada 54 kerusi Parlimen dalam kawasan Felda dilihat munasabah dalam situasi sekarang, memandangkan UMNO mahu memastikan sokongan masyarakat dan penduduk Felda beransur-ansur kembali kepada parti tersebut.

“Angka yang jangan terlampau ambitious, jangan terlampau bercita-cita tinggi. Jadi kita kekalkan beberapa kerusi di kawasan Felda yang kita menang sekarang dan secara keseluruhan jika kita dapat 30 kerusi dari Felda pun, sudah suatu pencapaian yang baik,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan