AM

RM2.41 JUTA DIPERUNTUK BANGUNKAN USAHAWAN, INDUSTRI LUAR BANDAR SABAH - HAJIJI

23/06/2024 11:30 PM

PUTATAN, 23 Jun (Bernama) -- Sabah telah memperuntuk RM2.41 juta bagi melaksanakan program Satu Daerah Satu Produk dalam usaha membangunkan usahawan dan industri di kawasan luar bandar di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah juga menggalakkan usahawan luar bandar mengusahakan produk tempatan seperti pembuatan gong, gubahan bunga, manik dan produk makanan berasaskan bahan tempatan.

Beliau berkata usaha ini memperlihat komitmen kerajaan negeri yang terus menyokong dan memperkasa sektor keusahawanan melalui pelbagai inisiatif serta program pembangunan di Negeri Di Bawah Bayu termasuk pemberian geran, latihan, bimbingan serta akses kepada pasaran dan pembiayaan.

“Saya berharap usahawan di luar bandar tidak melepaskan peluang ini untuk meningkatkan sumber ekonomi masing-masing,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Usahawan MADANI Peringkat Daerah Putatan di Dataran Pomoi di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmy Yahya yang juga Menteri Kerja Raya Sabah.

Hajiji juga berkata kerajaan negeri telah mewujudkan Pusat Produk Industri Kecil Sederhana (IKS) atau IKS Mart di Beaufort, Tuaran, Kota Marudu, Ranau serta di Oceanus Mall Kota Kinabalu dan sedang membangunkan pusat sama di Sandakan, Keningau, Kalabakan serta Luyang.

“Inisiatif ini adalah bagi membantu membangunkan sektor IKS dengan menyediakan ruang kepada usahawan tempatan untuk mengumpul, mempromosi dan menjual produk tempatan dari seluruh daerah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan