AM

TRASH4CASH: PEROLEH WANG DENGAN KUMPUL BAHAN KITAR SEMULA

24/06/2024 11:41 AM

NIBONG TEBAL, 24 Jun (Bernama) -- Pusat kitar semula pandu lalu automatik Trash4Cash yang pertama dibuka di Seberang Perai dekat sini, bukan sahaja bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai amalan kitar semula, malah orang ramai dapat memperoleh wang dengan mengumpulkan sampah.

Berkonsepkan DIY (do it yourself) iaitu buat sendiri, inisiatif yang beroperasi 24 jam setiap hari tanpa pekerja itu dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV), lampu, kipas dan Wi-fi yang berfungsi menggunakan tenaga solar.

Ketua Pegawai Eksekutif Trash4Cash Shafreez Redza Mhd Saiful Anuar berkata pengguna hanya perlu menuliskan nama dan nombor telefon atau mengimbas kod QR pada Smart Recycle Bin untuk memberikan butiran mereka.

“Seterusnya pengguna perlu memasukkan bahan yang ingin dikitar semula ke dalam ‘deposit bucket window’ mengikut kategori yang disediakan di situ.

“Selepas bahan kitar semula dikutip, pihak kami akan membuat pengesahan dengan membuat panggilan, pemeriksaan dan timbangan bagi tujuan verifikasi, seterusnya pembayaran akan dibuat selepas 48 jam proses verifikasi dijalankan,” katanya kepada Bernama.

Beliau ditemui pada Program Kempen Kesedaran Alam Sekitar Waste To Wealth di sebuah pasar raya di Sungai Bakap di sini yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jason H'ng Mooi Lye, baru-baru ini.

Shafreez Redza berkata bayaran bagi bahan kitar semula itu dibuat secara dalam talian dan visi Trash4Cash adalah untuk membantu komuniti mengembalikan pembungkusan pasca pengguna mereka sebagai langkah ke arah menjaga alam sekitar dengan lebih efektif.

Selain Pulau Pinang, katanya pusat kitar semula pandu lalu automatik milik syarikat itu juga diwujudkan di Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Kedah.

"Kita bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk tempatkan pusat kitar semula pandu lalu automatik yang pertama di negeri ini dan berdasarkan rekod negeri lain, seorang pengguna boleh memperoleh antara RM15 hingga RM20 setiap bulan menerusi inisiatif pusat kitar semula tersebut.

Kadar ditetapkan mengikut harga pasaran semasa antaranya 10 sen bagi satu kilogram kertas campur, kertas hitam/putih (30 sen/kg), surat khabar lama (35 sen/kg), minyak masak terpakai (RM2.70/kg), tin aluminium (RM2.30/kg), bateri kenderaan (50 sen/kg) dan sisa elektronik campur (20 sen/kg).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan