AM

KKDW SASAR 1,200 PESERTA TERIMA MANFAAT PROGRAM PENDIGITALAN USAHAWAN DESA TAHUN INI

24/06/2024 02:39 PM

MELAKA, 24 Jun (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyasarkan sebanyak 1,200 usahawan desa seluruh negara dilatih dan menerima manfaat menerusi penganjuran Program Pendigitalan Usahawan Desa (PPU) pada tahun ini. 

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKDW Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata kementerian itu juga memperuntukkan sebanyak RM1.7 juta bagi memberi pendedahan secara langsung dan praktikal kepada usahawan desa untuk beralih kepada teknologi baharu dan digital.

"PPU di bawah Program Desamall ini adalah inisiatif tambahan yang dilaksanakan kementerian untuk merapatkan jurang digital dengan membantu usahawan desa meningkatkan produktiviti dan kecekapan. 

“Kita menyasarkan pendapatan usahawan ini meningkat antara 10 hingga 30 peratus selepas tempoh setahun memasarkan produk dalam talian,” kepadanya kepada pemberita selepas merasmikan PPU Siri Dua Zon Selatan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.

Che Murad Sayang berkata menerusi PPU tersebut, peserta diberi kursus atau latihan secara praktikal untuk membolehkan usahawan desa mendigitalkan perniagaan mereka menerusi pemasaran perniagaan secara dalam talian.

Beliau berkata pelaksanaan PPU pada tahun ini melibatkan lima siri jelajah meliputi Perlis pada Julai, Sarawak (Ogos), Pahang (September) dan Sabah (Oktober) termasuk siri kedua di Melaka dan yang pertama pada Februari lepas di Kota Damansara, Selangor.

"Kesemua usahawan yang dipilih menyertai program ini adalah daripada agensi KKDW antaranya Majlis Amanah Rakyat (Mara), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Felcra Berhad (Felcra), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata menerusi pelaksanaan PPU itu juga, ia memudahkan usahawan desa mengadaptasi dan menceburi bidang perniagaan secara dalam talian melalui 12 modul dengan kerjasama 25 rakan strategik kementerian.

"Program ini akan diadakan dengan kerjasama rakan-rakan strategik yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing seperti pendigitalan kewangan, perkhidmatan Internet, platform e-dagang dan penghasilan kandungan,” katanya.

Pada majlis itu beliau turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Pentadbiran Desamall dan rakan strategik PPU yang baharu iaitu Lalamove, Dattle dan Beez. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan