DUNIA

Banduan Di Penjara Quebec Dipindahkan Berikutan Kebakaran Hutan

24/06/2024 08:19 PM

WASHINGTON, 24 Jun (Bernama-UPI) -- Banduan di sebuah penjara keselamatan maksimum di pantai utara Quebec telah dipindahkan akibat kebakaran hutan yang semakin memuncak, lapor United Press International (UPI) yang memetik pegawai Perkhidmatan Pemulihan Kanada.

Perkhidmatan Pemulihan Kanada berkata pada Ahad bahawa perintah pemindahan untuk Institusi Port-Cartier dikeluarkan pada Jumaat dan banduan berjaya dipindahkan ke kemudahan pemulihan persekutuan lain yang selamat.

“Untuk melaksanakan pemindahan, kami mengambil langkah bersama pihak berkaitan untuk memastikan keselamatan dan keamanan kakitangan, orang awam dan pesalah di bawah jagaan kami,” kata Perkhidmatan Pemulihan Kanada dalam satu kenyataan.

Pemberitahuan kepada mangsa telah dilakukan berdasarkan pilihan pemberitahuan yang mereka berikan kepada Perkhidmatan Pemulihan Kanada.

Pusat pemulihan itu terletak di bandar Port-Cartier, kira-kira 522 batu timur laut Montreal di sepanjang pantai utara Sungai St. Lawrence. Penjara itu mempunyai kapasiti 237 banduan dan pernah menempatkan pembunuh bersiri Robert Pickton sehingga kematiannya awal bulan ini.

Sekurang-kurangnya tujuh kebakaran telah berlaku di utara Port-Cartier dan Sept-Iles akibat panahan kilat awal bulan ini, kata agensi pencegahan kebakaran hutan Quebec SOPFEU dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Ahad, SOPFEU berkata beberapa kebakaran masih tidak dapat dikawal.

Datuk Bandar Port-Cartier, Alain Thibault telah mengisytiharkan darurat dan mengumumkan perintah pemindahan wajib untuk kediaman yang terletak di utara Route 138.

-- BERNAMA-UPI


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan