EKONOMI

INFLASI MALAYSIA MENINGKAT KEPADA 2.0 PERATUS PADA MEI - JABATAN PERANGKAAN

25/06/2024 03:08 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) --  Kadar inflasi Malaysia meningkat kepada 2.0 peratus pada bulan Mei berbanding 1.8 peratus dicatatkan pada April.

Ia didorong oleh kenaikan harga dalam kumpulan utama perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain sebanyak 3.2 peratus dan kenaikan 3.2 peratus lagi dalam perkhidmatan restoran dan penginapan.

Peningkatan juga direkodkan dalam pendidikan sebanyak 1.5 peratus; pengangkutan (0.9 peratus); penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (3.0 peratus); kesihatan (2.2 peratus); rekreasi, sukan dan kebudayaan (1.9 peratus) serta makanan dan minuman (1.8 peratus), kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Pakaian dan kasut serta insurans dan perkhidmatan kewangan masing-masing merosot 0.2 peratus dan 0.1 peratus.

“Inflasi utama bulanan pada Mei 2024 merekodkan peningkatan 0.3 peratus berbanding April 2024 (0.2 peratus). Kebanyakannya didorong oleh perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain serta maklumat dan komunikasi, masing-masing melonjak sebanyak 0.6 peratus.

“Ia diikuti dengan makanan dan minuman; perkhidmatan restoran dan penginapan; rekreasi, sukan dan kebudayaan serta pendidikan yang masing-masing meningkat 0.3 peratus berbanding bulan sebelumnya,” kata DOSM.

Bagaimanapun, ia berkata harga perabot, peralatan isi rumah dan penyelenggaraan rutin isi rumah berserta perkhidmatan kesihatan, insurans dan kewangan tidak mencatatkan sebarang kenaikan, justeru ia membantu mengimbangi kenaikan inflasi.

Inflasi teras yang mengukur perubahan dalam harga semua barangan dan perkhidmatan tidak termasuk harga makanan segar dan harga barangan yang diuruskan kerajaan, meningkat sebanyak 1.9 peratus pada Mei 2024, kadar sama seperti dicatatkan pada April 2024.

DOSM berkata peningkatan itu kebanyakannya dipacu perkhidmatan restoran dan penginapan serta penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan, masing-masing meningkat 3.3 dan 3.0 peratus.

“Inflasi tanpa bahan api cenderung kepada 1.9 peratus pada Mei 2024 kepada 123.1 berbanding 120.8 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. Inflasi tanpa bahan api meliputi semua barangan dan perkhidmatan kecuali petrol RON95, petrol RON97 dan diesel,” katanya.

DOSM berkata kadar inflasi di Malaysia lebih rendah berbanding Korea Selatan, Indonesia dan Filipina.

“Kadar inflasi Korea Selatan mencatatkan peningkatan lebih rendah sebanyak 2.7 peratus pada Mei manakala di Indonesia, ia naik sebanyak 2.8 peratus daripada 3.0 peratus pada April,” katanya.

Inflasi di Filipina menambah kepada 3.9 peratus berbanding 3.8 peratus pada bulan sebelumnya manakala harga di Thailand naik sebanyak 1.5 peratus bulan lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan