AM

PELAKSANAAN DASAR GAJI PROGRESIF DIJANGKA BERMULA OKTOBER INI

25/06/2024 03:12 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Dasar Gaji Progresif (DGP) dijangka akan dilaksanakan secara menyeluruh pada Oktober ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata pelaksanaan itu adalah selepas penilaian impak projek rintis DGP pada September ini.

Beliau berkata pelaksanaan projek rintis DGP bermula bulan ini hingga Ogos.

“Sehingga Jun 2024, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dengan kerjasama kementerian dan agensi lain seperti Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) dan Kementerian Ekonomi telah menganjurkan serta menghadiri sebanyak 16 sesi libat urus melibatkan wakil majikan dan pekerja.

“Berdasarkan sesi libat urus, didapati majoriti majikan dan pekerja memberikan maklum balas positif terhadap pelaksanaan DGP,” katanya pada sesi soal jawab lisan.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) yang ingin tahu mengenai status pelaksanaan DGP di peringkat kementerian dalam usaha meningkatkan pendapatan pekerja di sektor swasta.

Abdul Rahman berkata permintaan majikan untuk menyertai projek rintis DGP juga semakin meningkat dan sehingga hari ini, seramai 237 daripada 732 majikan yang telah membuka akaun menerusi sistem DGP, memohon untuk menyertainya.

“Sebanyak RM50 juta disediakan bagi pelaksanaan projek rintis DGP termasuk pembayaran insentif kepada 1,000 majikan. Pembayaran insentif kepada majikan dijangka pada Oktober ini apabila majikan mengemukakan tuntutan yang memenuhi syarat ditetapkan.

“Pemberian insentif ini dijangka akan memberi manfaat kepada 20,000 pekerja tempatan yang bergaji antara RM1,500 hingga RM4,999,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan