EKONOMI

MAHB REKOD LEBIH 11 JUTA PENUMPANG PADA MEI 2024

25/06/2024 03:44 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) merekodkan 11.2 juta penumpang pada Mei 2024 di 39 lapangan terbang di Malaysia dan Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (SAW) di Turkiye, peningkatan 5.1 peratus berbanding Mei 2019. 

Trajektori pertumbuhan ini mencerminkan kenaikan dua peratus daripada 11 juta penumpang yang direkodkan pada bulan sebelumnya, yang mana merupakan pencapaian terbaharu bagi kumpulan dan melepasi paras tertinggi dicapai pada Februari 2024.

“Ini merupakan pencapaian bagi tempoh lima bulan berturut-turut dengan penumpang melebihi 10 juta orang,” kata pengendali lapangan terbang itu dalam satu kenyataan hari ini.

Lapangan terbang tempatan MAHB mencatatkan sejumlah 7.7 juta pergerakan penumpang, mengekalkan prestasi kukuhnya dengan peningkatan satu peratus daripada 7.6 juta penumpang pada bulan sebelumnya.

“Lapangan terbang Malaysia menerima empat juta penumpang antarabangsa pada Mei 2024, kenaikan dua peratus daripada 3.9 juta penumpang pada bulan sebelumnya,” katanya.

Sementara itu, trafik domestik di lapangan terbang tempatan kekal stabil dengan 3.7 juta penumpang direkodkan pada bulan lepas.

“Perjalanan domestik yang konsisten ini mencerminkan permintaan pesat disokong oleh sambungan penerbangan yang kukuh dan penambahbaikan berterusan perkhidmatan lapangan terbang,” kata MAHB.

Sementara itu, di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul, MAHB merekodkan jumlah pergerakan penumpang sebanyak 3.5 juta pada Mei 2024, peningkatan tiga peratus daripada bulan sebelumnya.

“Pergerakan kedua-dua penumpang antarabangsa dan domestik menyumbang kepada pertumbuhan ini dengan 1.8 juta penumpang antarabangsa dan 1.7 juta penumpang domestik direkodkan pada Mei 2024.

“Pegasus Airlines memainkan peranan penting menyumbang kepada peningkatan ini dengan pengenalan empat laluan antarabangsa baharu: Chisinau dan Aktau dengan penerbangan dua kali seminggu, dan Bratislava dan Sofia dengan penerbangan tiga kali seminggu,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan