POLITIK

PRK SG BAKAP : PANTUN MERIAHKAN KEMPEN JENTERA PERPADUAN

25/06/2024 06:49 PM

Oleh Nur Syuhada Yusof

NIBONG TEBAL, 25 Jun (Bernama) -- Kehadiran Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan ke gelanggang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, memeriahkan kempen jentera Perpaduan apabila tampil dengan pendekatan berbeza.

Tidak hanya sekadar menyampaikan ceramah biasa, Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu lebih cenderung menggunakan pendekatan yang lebih sopan, halus dan penuh makna tersirat menerusi budaya masyarakat Melayu iaitu dengan berpantun, sekali gus menarik perhatian umum.

Sememangnya Ahli Parlimen Pontian itu terkenal sebagai pemimpin yang gemar berpantun dalam pelbagai situasi, tidak kiralah ketika menyampaikan ucapan mahupun ketika beramah mesra dengan orang ramai.

Pendekatan tersebut turut dijadikan ‘senjata’ oleh Ahmad ketika turun berkempen pada PRK DUN Sungai Bakap, bagi membantu calon Pakatan Harapan (PH) bagi PRK berkenaan Dr Joohari Ariffin.

Ketika menghadiri ceramah kelompok Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Bakap di Kampung Makau Suah malam tadi, Ahmad berkata beliau baru sahaja menghasilkan dua rangkap pantun empat kerat yang mengajak pengundi untuk memilih calon PH pada PRK DUN Sungai Bakap.

Menanam padi semakin cekap,

Lima kali pulun dua tahunan;

Wahai pengundi Sungai Bakap,

Ayuh undi calon Perpaduan.

 

Hidup lengkap tidak berkelahi,

Setiap hari bertelingkah jangan;

Pengundi Sungai Bakap yang dikasihi

Cikgu Joohari, berilah sokongan.

 

Walaupun pada mulanya tersenyum tersipu-sipu ketika diajak oleh Ahmad untuk berpantun, Joohari yang turut hadir pada ceramah itu tidak ‘mahu kalah’ dan membalas pantun tersebut.

 

Makan roti dengan madu,

Madu berasal dari Mentakab;

Marilah kita bersatu padu,

Kerana Perpaduan demi Sungai Bakap.

 

Pergi ke kolam kita mau mandi, 

Airnya dingin sejuk sekali;

Marilah kita pergi mengundi,

Calon nombor satu mesti dimenangi.

 

PRK DUN Sungai Bakap itu menyaksikan Joohari dicabar Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail sebagai calon Perikatan Nasional (PN), dalam pertembungan satu lawan satu pada 6 Julai.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei akibat keradangan dalam perut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan