SUKAN

Ntc Fam Di Putrajaya Dijadual Siap Seawal Disember 2026

26/06/2024 01:12 PM

PUTRAJAYA, 26 Jun (Bernama) -- Mercu tanda baharu bola sepak negara, Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Presint 5, di sini, yang menelan belanja keseluruhan RM69 juta dijadual siap seawal Disember 2026.

Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pembinaan NTC FAM di atas tapak seluas 5.2 hektar berhampiran Taman Ekuestrian Putrajaya itu melibatkan dua fasa iaitu Fasa 1 yang dijangka siap pada Disember 2026 manakala Fasa 2 setahun kemudian. 

Beliau berkata pembinaan Fasa 1 NTC FAM dibiayai Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berjumlah AS$5.2 juta (kira-kira RM24 juta) dan dilaksanakan oleh syarikat tempatan RS Green Master (M) Sdn Bhd, merangkumi kemudahan antara lain tiga padang bola sepak dengan jenis rumput berbeza iaitu Bermuda, hibrid dan tiruan.

“Fasa 2 pula adalah peruntukan daripada KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan akan dilaksanakan Jabatan Kerja Raya dengan tender dijangka dibuka pada September 2024, membabitkan pembinaan sebuah bangunan seluas 1,682.8 meter persegi merangkumi gimnasium, ruang serba guna, bilik persalinan pemain, ruang rehabilitasi dan surau, selain pembinaan bumbung bagi padang rumput tiruan yang dibina pada Fasa 1,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah NTC FAM di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia Datuk Seri Windsor John dan Pengarah Serantau Ahli Gabungan FIFA (Asia & Oceania) Sanjeevan C. Balasingam.

Hamidin berharap dengan terbinanya NTC yang merupakan cetusan bekas Presiden FAM Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah itu, pusat tersebut akan menjadi simbolik kepada pembangunan infrastruktur FAM yang telah dirancang sejak beberapa tahun lepas, termasuk projek pembinaan ibu pejabat baharu FAM juga terletak di Presint 5, di sini.

"Selain Almarhum Tuanku, seorang lagi individu atau watak penting dalam merealisasikan pembinaan projek NTC ini ialah Tan Sri Dr. Aseh Che Mat, individu yang paling lama berkhidmat di FAM yang mana beliau ketika ini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM.

"Tan Sri Aseh yang bertanggungjawab mendapatkan tapak projek NTC ini ketika beliau menjadi Presiden Perbadanan Putrajaya. Tanpa kedua-dua individu penting ini serta individu-individu lain yang turut sama membantu, pastinya agak sukar bagi FAM untuk menjadikan projek NTC ini satu kenyataan,” katanya.

Hamidin turut berterima kasih kepada FIFA, terutama presiden Gianni Infantino atas sokongan penuh dan dana diberikan serta pihak kerajaan atas segala bantuan dan peruntukan kepada FAM untuk membina NTC sekali gus memenuhi tuntutan dan evolusi bola sepak moden masa kini.

Beliau juga berharap pembinaan NTC FAM akan memberi nilai tambah kepada seluruh anggota pasukan kebangsaan khususnya buat skuad senior Harimau Malaya dan skuad Bawah 23 Tahun kebangsaan.

Sebelum ini, projek NTC FAM yang diumum pada 2019 itu dijadual mula dibina pada 2021.

Hamidin berkata FAM akan berpindah ke ibu pejabat baharu bermula pertengahan 2027 manakala lokasi asal di Kelana Jaya akan digunakan untuk pusat latihan skuad lain termasuk pasukan futsal kebangsaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan