AM

YAYASAN ADE AZHAR SERAH 7,000 AL-QURAN WAKAF KEPADA JAIPK

26/06/2024 03:19 PM

IPOH, 26 Jun (Bernama) -- Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menerima 7,000 naskhah Al-Quran sebagai wakaf daripada Yayasan Ade Azhar dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Raudhah Malaysia, untuk diserahkan kepada Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) KAFA Integrasi dan SRAR Sepenuh Masa dalam daerah Kinta. 

Pemegang Amanah Yayasan Ade Azhar, Mohd Khushairi Abdul Khalid berkata sumbangan itu merupakan sebahagian usaha pihak yayasan untuk mengagihkan Al-Quran wakaf ke seluruh negara, melibatkan institusi pengajian maahad, sekolah, madrasah dan pondok pengajian. 

Beliau berkata pada 22 Jun lepas 3,000 Al-Quran diedar kepada 10 sekolah rendah dan menengah di Tawau, Sabah.

"Yayasan Ade Azhar telah mencetuskan idea untuk mewujudkan program wakaf Al-Quran dengan nilai RM350 senaskah dan tahun lepas 22,290 Al-Quran telah disampaikan kepada umat Islam.

"Setakat ini dari Januari hingga ke hari ini kita telah jalankan amanah penginfak dengan menyerahkan 31, 934 naskah di seluruh negara dan tahun ini sahaja ada 52,000 permintaan untuk kita serahkan," katanya ketika ditemui Bernama selepas Majlis Penyerahan Al-Quran Kepada SRAR Daerah Ipoh 2024 di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) dekat sini hari ini. 

Hadir sama pada majlis itu dan menerima simbolik penyerahan Al-Quran ialah Pengarah JAIPk Harith Fadzilah Abdul Halim serta Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Raudhah Malaysia Muhammad Dinie Othman.

Sementara itu Harith Fadzilah berkata pihaknya berharap pemberian Al-Quran itu dapat memberi manfaat kepada mereka yang terlibat sekali gus menjadi asbab untuk lebih rajin membaca Al-Quran. 

"Saya harap Al Quran naskhah premium yang mempunyai terjemahan ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh guru dan pelajar dalam proses pembelajaran Al-Quran.

"Pada program hari ini 105 SRAR dalam daerah Kinta terlibat dan setiap sekolah akan menerima antara 50 hingga 60 naskah Al-Quran mengikut jumlah pengajar atau murid yang ada," katanya. 

Beliau turut berharap inisiatif itu mampu melahirkan generasi celik ilmu sekali gus mencetus budaya membaca Al-Quran. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan