JENAYAH & MAHKAMAH

HUKUMAN MATI LELAKI EDAR 245KG GANJA DIGANTI PENJARA 30 TAHUN, 24 SEBATAN

26/06/2024 06:01 PM

PUTRAJAYA, 26 Jun (Bernama) -- Seorang bekas pekerja am terlepas daripada tali gantung selepas Mahkamah Rayuan di sini hari ini menggantikan hukuman itu dengan penjara 30 tahun dan 24 sebatan atas dua sabitan mengedar 245 kilogram (kg) ganja, lapan tahun lalu.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Azhahari Kamal Ramli mengarahkan hukuman pemenjaraan tersebut terhadap Mohd Faizal Zainal Abidin, 48, bermula serentak dari tangkap pada 13 Mac, 2016.

Hakim Che Mohd Ruzima dalam menyampaikan keputusan tersebut berkata berdasarkan hujahan peguam perayu, Gurbachan Singh, mahkamah telah memutuskan untuk mengekalkan sabitan Mohd Faizal atas kesalahan terebut.

Beliau bagaimanapun berkata mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk menggantikan hukuman mati kepada penjara seumur hidup 30 tahun dan 12 sebatan bagi setiap kesalahan.

Pada 9 Sept, 2022, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman mati terhadap Mohd Faizal selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengedar 190kg ganja di sebuah rumah di Jalan USJ 13/3E, Subang Jaya, Selangor, sekitar jam 3 petang, 12 Mac 2016.

Pertuduhan kedua ialah dia juga didapati mengedar 155kg dadah tersebut di tempat letak kereta di lokasi sama pada masa dan hari yang sama.

Berdasarkan fakta kes, polis melakukan intipan selepas menerima maklumat bahawa sindiket  pengedaran dadah akan menghantar bekalan dadah tersebut  dari Sungai Petani, Kedah ke Kuala Lumpur.

Polis mengekori Mohd Faizal yang memandu kereta membawa dadah itu dan menahannya di Subang Jaya selepas memerhatikan kegiatannya di rumah itu.

Terdahulu, Gurbachan memaklumkan kepada mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara telah menolak representasi anak guamnya untuk mengurangkan pertuduhan kepada pemilikan dadah.

Gurbachan, yang dibantu oleh Gobindeep Singh, mengakui bahawa Mahkamah Tinggi betul dalam mensabitkan anak guamnya atas pertuduhan pengedaran dadah.

Bagaimanapun, beliau memohon mahkamah untuk campur tangan dengan hukuman susulan pindaan undang-undang memansuhkan hukuman mati mandatori.

Timbalan Pendakwa Raya Solehah Noratikah Ismail dalam hujahnya  menggesa mahkamah mengekalkan hukuman mati kerana jumlah dadah tersebut adalah besar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan