EKONOMI

BANK ISLAM TINGKATKAN MANFAAT KAD KREDIT-I, SESUAIKAN DENGAN GAYA HIDUP PELANGGAN

26/06/2024 08:52 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) pada Rabu melancarkan kad kredit-i yang dipertingkatkan, mempamerkan pelbagai manfaat dan ganjaran baharu yang disesuaikan dengan gaya hidup pelanggan.

Bank itu menjelaskan inisiatif tersebut membuktikan komitmen pihaknya untuk menyediakan produk kewangan inovatif dan mengutamakan pelanggan menerusi penawaran ganjaran terpilih yang memenuhi pelbagai keperluan dan pilihan perbelanjaan pelanggan.

“Menerusi program dwiganjaran Bank Islam, pelanggan boleh mengumpul TruPoints dan pulangan tunai menerusi pembelian harian dan perbelanjaan perjalanan mereka, meningkatkan kesejahteraan kewangan mereka,” tambahnya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut Bank Islam, mulai 1 Ogos, 2024, pelanggan Bank Islam Platinum Mastercard boleh menikmati bonanza ganjaran bagi setiap leretan kad mereka.

Pelanggan boleh memperoleh sehingga 2X TruPoints untuk transaksi tanpa sentuh dan pembelian petrol manakala pengembara kerap juga boleh memperoleh 2X ganjaran TruPoints apabila membuat perbelanjaan menggunakan kad ketika di luar negara, jelas bank itu.

Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Bank Islam bagi Perbankan Runcit Mizan Masram berkata ciri-ciri baharu itu akan berkuat kuasa pada 1 Ogos, 2024 dan dijangka meningkatkan kehidupan kewangan harian pelanggan dengan ketara.

Beliau berkata usaha itu menjadikan Kad Kredit-i Bank Islam sebagai satu alat pengurusan kewangan yang penting serta mampu memperkasakan pemegang kad untuk mengawal kewangan mereka dengan baik demi mencapai kestabilan kewangan jangka panjang.

“Kad Kredit-i Bank Islam yang dipertingkatkan ini dijangka memberikan sumbangan ketara sehingga 20 peratus dari segi kadar pertumbuhan angka pelanggan baharu pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Beliau berkata ganjaran kad baharu itu diperkenalkan untuk pelanggan baharu dan lebih 160,000 pelanggan sedia ada, dengan menerapkan ciri-ciri nilai tambah yang memenuhi keutamaan perbelanjaan mereka secara khusus, di samping penyediaan perlindungan takaful secara percuma sedia ada.

Menerusi program dwiganjaran, TruPoints untuk Mastercard dan pulangan tunai untuk Visa, Bank Islam menyediakan lebih banyak pilihan dan nilai yang lebih bermakna kepada pemegang kad, katanya.

Bank itu turut memperkenalkan rekaan baharu Kad Kredit-i Platinum Bank Islam yang eksklusif dan canggih yang diilhamkan oleh pergerakan cecair logam,.

Rekaan itu melambangkan kebolehsuaian terhadap persekitaran yang sentiasa berubah.

Bank Islam memaklumkan pemegang kad Bank Islam Platinum Visa boleh meningkatkan pengalaman beli-belah mereka, pada masa sama, berjimat secara mudah bagi setiap transaksi melalui pulangan tunai sehingga lims peratus yang menarik untuk pembelian dalam talian dan perbelanjaan menjamu selera.

Bank Islam juga menawarkan pulangan tunai satu peratus untuk perbelanjaan di luar negara.

Layari www.bankislam.com atau mana-mana cawangan Bank Islam untuk maklumat lanjut dan bagi memohon Kad Kredit-i Bank Islam Platinum baharu.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan