DUNIA

VALDECY URQUIZA DARI BRAZIL DIPILIH SETIAUSAHA AGUNG INTERPOL BAHARU

26/06/2024 07:08 PM

PARIS, 26 Jun (Bernama-dpa) -- Valdecy Urquiza dari Brazil telah dipilih sebagai Setiausaha Agung badan polis antarabangsa Interpol yang seterusnya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Lembaga organisasi itu mengumumkan keputusan berkenaan di ibu pejabatnya di bandar Lyon, Perancis pada petang Selasa. Perhimpunan Agung Interpol dijangka mengesahkan pemilihan pada November.

Dengan 196 negara anggota, Interpol adalah organisasi polis terbesar di dunia dan menyelaraskan kerjasama antarabangsa, sebagai contoh dengan menyediakan forum untuk negara bertukar maklumat mengenai individu yang dikehendaki.

Setiausaha agung menguruskan kerja harian organisasi itu. Presiden Interpol mengawasi kerja Sekretariat Agung dan mempengerusikan Perhimpunan Agung negara anggota.

Presiden Interpol Ahmed al-Raisi memuji pengalaman dan visi Urquiza. Beliau bukan sahaja pernah berkhidmat sebagai pegawai kanan dalam pasukan polis Brazil, tetapi juga telah memberikan perkhidmatan cemerlang sebagai bekas kakitangan Interpol dan sebagai Naib Presiden untuk Amerika Utara dan Selatan.

Urquiza akan menggantikan Jürgen Stock dari Jerman, yang telah menggalas jawatan itu sejak 2014.

-- BERNAMA-dpa


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan