DUNIA

RINGGIT DITUTUP RENDAH BERBANDING DOLAR AS

26/06/2024 07:28 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini, berikutan kebimbangan terhadap pendirian Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS)  yang cenderung untuk menaikkan kadar faedah, menyokong dolar AS.

Pada 6 petang, ringgit diniagakan pada 4.7140/7185 berbanding dolar AS 4.7035/7070 ketika ditutup pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit mengukuh pada awalnya berbanding dolar AS, mencecah RM4.7068 pada sesi pagi.

"Bagaimanapun, menjelang petang, ringgit menyusut kepada RM4.7145, terutamanya disebabkan kebimbangan pasaran berkenaan kadar faedah AS, berikutan laporan indeks harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) dijadualkan terbit pada Jumaat ini (28 Jun).

"Indeks PCE dijangka sederhana kepada 2.6 peratus pada Mei berdasarkan anggaran konsensus, selepas kekal pada 2.7 peratus sejak dua bulan lepas. Kebimbangan terhadap Fed yang berpotensi meningkatkan kadar faedah menguatkan dolar AS, seterusnya menyebabkan penurunan nilai ringgit," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit ditutup kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan itu naik berbanding yen Jepun kepada 2.9459/9489 daripada 2.9513/9537, meningkat berbanding euro kepada 5.0383/0431 daripada 5.0440/0478, tetapi menyusut berbanding pound Britain kepada 5.9722/9779 daripada  5.9687/9732 ketika ditutup semalam.

Pada masa yang sama, ringgit juga mengukuh berbanding mata wang di negara-negara ASEAN.

Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8007/8185 daripada 12.8294/8431, mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4746/4782 daripada 3.4763/4792 dan menokok berbanding peso Filipina kepada 8.01/8.02 daripada 8.00/8.01. 

Ringgit hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 287.1/287.6 daripada 287.1/287.5 sebelum itu.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan