DUNIA

USAHA BERSAMA MALAYSIA, JEPUN DAN KOMUNITI GLOBAL DIPERLUKAN UNTUK PALESTIN - TAKAHASHI

27/06/2024 01:40 AM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Malaysia dan Jepun, bersama masyarakat antarabangsa perlu berusaha untuk masa depan rakyat Palestin yang lebih baik, kata Duta Besar Jepun ke Malaysia Katsuhiko Takahashi.

“Di tengah-tengah pertempuran yang berpanjangan, Jepun amat mengambil berat tentang situasi kemanusiaan yang kritikal di Gaza. Sejak Oktober lalu, Jepun telah melaksanakan bantuan kemanusiaan lebih US$100 juta bagi menyokong Palestin, termasuk Gaza.

"Jepun mengalu-alukan penerimaan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2735 mengenai situasi di Gaza pada 10 Jun. Sokongan daripada Malaysia terhadap resolusi ini juga menggalakkan," katanya.

Takahashi membuat kenyataan ini dalam ucapannya semasa sambutan Japan's 70th Self-Defence Forces' Day di kediamannya pada Rabu.

Dalam perkembangan lain, Takahashi menekankan peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN pada 2025 sebagai peluang penting untuk menangani cabaran serantau.

Beliau menekankan prinsip perkongsian antara inisiatif Visi Indo-Pasifik Bebas dan Terbuka Jepun (FOIP) dan ASEAN Outlook on Indo-Pacific (AOIP).

“Kerjasama dengan negara-negara ASEAN amat diperlukan. AOIP berkongsi prinsip asas dengan FOIP dan Jepun bersedia menyokongnya.

“Malaysia akan memainkan peranan yang lebih besar sebagai pengerusi ASEAN dalam menangani cabaran serantau dan Jepun bersedia menyokong Malaysia dalam melaksanakan kepimpinannya,” katanya.

Mengenai hubungan dua hala, beliau menekankan kerjasama keselamatan yang semakin erat antara Jepun dan Malaysia, termasuk latihan bersama pertama antara Angkatan Pertahanan Diri Maritim Jepun dan Tentera Laut Diraja Malaysia tahun ini.

“Kami memilih Malaysia secara strategik sebagai satu daripada empat negara penerima pertama Bantuan Keselamatan Rasmi atau  Official Security Assistance (OSA) tahun lepas.

“Selain itu, Tiga Prinsip Jepun mengenai Pemindahan Peralatan dan Teknologi Pertahanan telah disemak semula untuk membolehkan pemindahan peralatan pertahanan ke luar negara dan memudahkan kerjasama pertahanan yang lebih lancar antara negara kita.

“Saya berharap untuk melihat hasil yang ketara dengan Malaysia dalam bidang ini juga," katanya.

Turut hadir pada majlis sambutan itu ialah Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin, pegawai-pegawai tinggi Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia, duta besar dan atase tentera kor diplomatik di Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan