DUNIA

RINGGIT DIBUKA RENDAH BERBANDING DOLAR AS

27/06/2024 10:29 AM

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Ringgit meneruskan penurunan semalam untuk diniagakan rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, berikutan sentimen kukuh terhadap dolar AS terus menguasai pasaran mata wang, kata pakar ekonomi.

Pada 9.12 pagi, ringgit turun kepada 4.7195/7230 berbanding dolar AS daripada 4.7140/7185 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata yen Jepun dilihat menjadi laporan utama berita apabila dolar-yen melepasi paras 160 yen walaupun laporan Indeks Harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi AS hanya akan dikeluarkan pada Jumaat.

“Mata wang utama lain seperti euro, pound British dan dolar Kanada juga rendah berbanding dolar AS, menjadikan Indeks Dolar AS (DXY) lebih tinggi kepada 106.052 mata.

“Nota Perbendaharaan AS berjangka 10 tahun itu juga kembali dengan hasil meningkat 8.0 mata asas kepada 4.33 peratus. Harga emas semasa susut di bawah US$2,300 setiap auns ekoran hasil Perbendaharaan AS yang lebih tinggi,” katanya kepada Bernama pada Khamis.

Sementara itu, ringgit kebanyakannya diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang utama.

Ringgit naik berbanding yen Jepun kepada 2.9379/9403 daripada 2.9459/9489 ketika ditutup semalam, dan meningkat berbanding pound British kepada 5.9555/9600 daripada 5.9722/9779.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding euro kepada 5.0409/0446 daripada 5.0383/0431.

Unit tempatan mencatatkan prestasi bercampur-campur berbanding mata wang negara Asean.

Mata wang domesik kukuh berbanding baht Thailand kepada 12.7623/7766 daripada 12.8007/8185 ketika ditutup pada Rabu, dan stabil berbanding dolar Singapura kepada 3.4735/4764 daripada 3.4746/4782.

Ringgit lemah berbanding rupiah Indonesia kepada 287.4/287.9 daripada 287.1/287.6 dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.01/8.02.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan