DUNIA

BURSA MALAYSIA DIBUKA TINGGI NAMUN ALAMI PENURUNAN SELEPAS ITU

27/06/2024 10:40 AM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Khamis namun mengalami penurunan selepas itu berikutan dagangan yang lemah, memandangkan pelabur menunggu data inflasi yang akan dikeluarkan pada Jumaat, kata penganalisis.

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 3.71 mata kepada 1,587.24 daripada 1,590.95 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.58 mata lebih kukuh kepada 1,591.53.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 228 berbanding 204, manakala 376 kaunter tidak berubah, 1,633 kaunter tidak diniagakan dan 73 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 362.25 juta unit bernilai RM186.32 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pihaknya menjangkakan indeks itu berlegar dalam julat 1,590 hingga 1,600 hari ini kerana jualan baru-baru ini mungkin telah berjalan baik.

FBM KLCI akhirnya ditutup dengan prestasi positif selepas tujuh hari mengalami penurunan, disokong oleh beberapa aktiviti pembelian semasa harga murah.

“Bagaimanapun, kami yakin dagangan akan agak suram kerana ramai pelabur yang akan menunggu data inflasi yang akan dikeluarkan pada Jumaat,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata harga minyak mentah kekal kukuh dengan minyak mentah Brent kekal melebihi paras  US$85 setong, dan ramai pihak menjangkakan harga meningkat lebih tinggi dalam keadaan peningkatan permintaan dan kekurangan bekalan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut dua sen kepada RM9.94, IHH Healthcare turun empat sen kepada RM6.23, Tenaga Nasional menambah enam sen kepada RM13.98, CIMB naik tiga sen kepada RM6.79 dan Public Bank tidak berubah pada RM4.01.

Bagi saham aktif, Ingenieur Gudang susut setengah sen kepada enam sen, YNH Property kurang tujuh sen kepada 53.5 sen, SBH Marine naik 2.5 sen kepada 34.5 sen, WCT Holdings menokok setengah sen kepada 83.5 sen dan Jaks Resources tidak berubah pada 16.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 23.07 mata kepada 12,187.68, Indeks FBMT 100 turun 24.69 mata kepada 11,767.65, Indeks FBM Emas Syariah kurang 31.87 mata kepada 12,535.67, Indeks FBM 70 menguncup 26.99 mata kepada 17,761.87 dan Indeks FBM ACE turun 0.2 mata kepada 5,723.11.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga kurang 0.21 mata kepada 959.78, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.7 mata kepada 196.14, dan Indeks Perladangan susut 7.17 mata kepada 6,980.76.

Bagaimanapun, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 4.52 mata kepada 17,449.75.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan