AM

1.4 JUTA MENTOL LED HIASI LUNA LIGHTS WONDERLAND DI TAMAN BUKIT LAYANG-LAYANG PASIR GUDANG

27/06/2024 11:35 AM

JOHOR BAHRU, 27 Jun (Bernama) -- Limpahan cahaya kira-kira 1.4 juta mentol lampu diod pemancar cahaya (LED) berwarna-warni menghiasi suasana malam di pameran Luna Lights Wonderland, yang diadakan di Taman Bukit Layang-Layang di Pasir Gudang, di sini.

Pengurus Perniagaan dan Pembangunan Red Bear Event Bella Fionne berkata pameran itu yang bermula 20 Jun sehingga 29 Julai, disasarkan menarik kira-kira 300,000 pengunjung dari dalam dan luar negara termasuk Singapura.

Beliau berkata Taman Bukit Layang-Layang yang berkeluasan kira-kira tujuh ekar dipilih sebagai lokasi penganjuran di Johor, iaitu ketiga selepas Pahang dan Terengganu pada tahun ini.

“Antara faktor kita memilih taman ini adalah kerana kemudahan pelbagai fasiliti yang telah tersedia dan keluasannya.

“Kita sasar 300,000 pengunjung dari dalam dan luar negara dan dalam tempoh tujuh hari dianjurkan, kita (setakat ini) telah menarik kira-kira 50,000 pengunjung,” katanya kepada pemberita pada Hari Apresiasi Media dan Jamuan Makan Luna Lights Wonderland Bersama Anak Yatim Darul Hanan, di sini malam tadi.

Bella Fionne berkata terdapat pelbagai tarikan di pameran tersebut antaranya ruang bertemakan angkasa, akuatik, percintaan, haiwan dan belantara; terowong Love, terowong Starwars, terowong Avarta dan gerai makanan.

Beliau dalam pada itu berkata pameran tersebut turut mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) bagi pesta lampu terbesar di Malaysia dan 1.4 juta biji mentol lampu LED digunakan dalam pesta lampu.

“Pameran itu akan menjelajah ke 10 negeri, ia telah bermula sejak Mei tahun lepas dan setakat ini Johor merupakan destinasi yang ketujuh,” katanya.

Bella Fionne berkata penganjuran pameran itu mendapat kerjasama Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) menerusi Festival Dinamika Hijau Pasir Gudang 2024.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan