SUKAN

HAMIDIN MOHON MENGHADAP SULTAN SELANGOR

27/06/2024 02:43 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin memaklumkan pihaknya sudah menghantar surat untuk memohon menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, berhubung ‘teguran’ daripada baginda, semalam.

Hamidin bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu, namun akan menjelaskan  berhubung kemelut yang melanda bola sepak tanah air pada masa ini.

“Saya maklum dengan dukacita Tuanku Sultan Selangor tentang keputusan MFL (Liga Bolasepak Malaysia). Saya telah menghubungi pihak Istana Selangor semalam dan hari ini disusuli dengan warkah surat menghadap Tuanku Sultan Selangor. 

“Jadi insya-Allah saya akan cuba selesaikan untuk beri penjelasan (mengenai isu yang berlaku ketika ini),” katanya selepas Majlis Pelancaran Liga Wanita Nasional (LWN) musim 2024 di Lalaport, Bukit Bintang City Centre (BBCC) di sini hari ini.

Semalam, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa amat kecewa dan sangat dukacita dengan keputusan MFL serta ahli FAM khususnya Hamidin, berhubung denda dikenakan terhadap Selangor FC kerana ketidakhadiran pasukan itu ke perlawanan Piala Sumbangsih pada 10 Mei.

Sultan Sharafuddin bertitah baginda amat murka dengan keputusan terbaharu MFL itu, yang dianggap tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan dan tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku.

Sementara itu, Hamidin mengesahkan sudah menerima surat peletakan jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Seri Shahril Mokhtar, yang membuat keputusan mengejut dengan melepaskan kesemua jawatannya dalam FAM berkuat kuasa serta-merta, semalam.

Hamidin bagaimanapun memaklumkan tiada pelantikan segera bagi mengisi kekosongan jawatan Shahril, yang sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Penajaan dan Pemasaran, serta pengurus skuad bawah 23 tahun negara, kerana ia hanya boleh dilakukan pada kongres pemilihan FAM tahun hadapan.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Stuart Ramalingam memaklumkan pasukan Selangor FC boleh mengemukakan rayuan kepada badan induk itu, selepas dijatuhkan empat bentuk hukuman susulan tidak hadir pada perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor bulan lepas.

Beliau berkata Selangor FC mempunyai tempoh sehingga hujung minggu ini untuk menghantar surat rayuan rasmi, dan jumlah hukuman terhadap Selangor diputuskan Ahli Lembaga Pengarah MFL juga mungkin dikurangkan berdasarkan pertimbangan badan rayuan MFL.

MFL dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan Selangor FC dihukum antara lain didenda RM100,000 dan pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Super.

Mereka juga perlu membayar pampasan kerugian ditanggung Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku pasukan tuan rumah perlawanan pembukaan musim itu, dengan jumlahnya akan dimaklumkan kelak serta perlawanan Liga Super minggu ke-14 antara Selangor dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), akan berlangsung tanpa kehadiran penonton.

Bagaimanapun, Selangor FC dalam satu kenyataan memaklumkan sedang meneliti serta mengkaji semua saluran bersesuaian, bagi mengambil tindakan seterusnya.

Selangor FC menjelaskan mereka memohon penangguhan perlawanan Piala Sumbangsih selepas kes serangan asid terhadap Faisal Halim pada 5 Mei, dan beberapa lagi insiden lain yang melibatkan pemain bola sepak tanah air, namun permohonan tersebut ditolak.

Keputusan itu menyaksikan JDT diberikan kemenangan percuma dengan jaringan 3-0 dan mendapat tiga mata bagi aksi Liga Super.

Pemotongan tiga mata menyaksikan Selangor yang kini berada di kedudukan kedua Liga Super dengan mengumpul sembilan mata, akan jatuh ke posisi kelima.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan