DUNIA

BURSA MALAYSIA RENDAH PADA TENGAH HARI, SEJAJAR DENGAN PRESTASI BURSA SERANTAU

27/06/2024 01:49 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal rendah sehingga tengah hari pada Khamis, sejajar dengan kebanyakan bursa serantau apabila pelabur berhati-hati sebelum data inflasi Amerika Syarikat (AS) dikeluarkan pada Jumaat, kata penganalisis.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.42 peratus atau 6.61 mata kepada 1,584.34 daripada 1,590.95 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.58 mata lebih kukuh kepada 1,591.53 dan bergerak di antara 1,583.83 dengan 1,592.26 sepanjang sesi pagi.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 677 berbanding 302, manakala 737 kaunter tidak berubah, 1,036 kaunter tidak diniagakan dan 73 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 2.61 bilion unit bernilai RM1.49 bilion.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd data Indeks Perbelanjaan Penggunaan Peribadi AS (PCE), yang akan dikeluarkan pada Jumaat, mungkin menentukan hala tuju kadar faedah AS.

"Minggu ini, peniaga masih akan memantau data PCE untuk memahami lebih banyak petunjuk mengenai pergerakan hala tuju kadar faedah pada masa hadapan,” jelasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Firma pembrokeran itu memaklumkan syarikat utama teknologi AS merekodkan peningkatan semula bagi sesi kedua.

Justeru, pihaknya menjangkakan pembelian semasa harga murah akan meluas kepada saham teknologi tempatan, didorong oleh peningkatan permintaan terhadap pusat data, kecerdasan buatan dan perkhidmatan awan.

“Melangkah ke hadapan, kami memilih saham pengguna bercirikan defensif dan industri perkapalan, yang mungkin menjangkakan pertumbuhan tambahan susulan rantaian bekalan perkapalan dijangka mengalami tekanan sekali lagi berikutan menunggu lebih lama untuk kontena dan penghantaran,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut lima sen kepada RM9.91, Public Bank turun satu sen kepada RM4, CIMB dan IHH Healthcare masing-masing naik satu sen kepada RM6.77 dan RM6.28, manakala Tenaga Nasional tidak berubah pada RM13.92.

Bagi saham aktif, YNH Property susut 10 sen kepada 50.5 sen, MY E.G kurang empat sen kepada 98 sen, Ingenieur Gudang menguncup setengah sen kepada enam sen, dan Dagang NeXchange turun 1.5 sen kepada 45 sen, manakala SBH Marine meningkat 2.5 sen kepada 34.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 49.90 mata kepada 12,160.85, Indeks FBMT 100 kurang 49.92 mata kepada 11,742.42, Indeks FBM Emas Syariah turun 63.21 mata kepada 12,504.33, Indeks FBM 70 merosot 78.80 mata kepada 17,710.06, dan Indeks FBM ACE menguncup 21.21 mata kepada 5,702.10.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga kurang 6.09 mata kepada 953.90, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun satu mata kepada 195.84, Indeks Perladangan susut 21.39 mata kepada 6,966.54 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 46.88 mata kepada 17,398.35.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan