AM

KASTAM GAGALKAN CUBAAN SELUDUP PELBAGAI BARANGAN BERNILAI RM730,530

27/06/2024 02:33 PM

KLANG, 27 Jun (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah II (Selangor) mematahkan cubaan penyeludupan pelbagai barangan termasuk air zamzam dan rokok, membabitkan nilai rampasan serta cukai berjumlah RM730,530 menerusi enam operasi berasingan di sekitar Lembah Klang baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Norlela Ismail berkata rampasan melibatkan air zamzam dilakukan dalam serbuan ke atas sebuah gudang di Shah Alam pada 21 Mei lepas.

Beliau berkata pemeriksaan yang turut disaksikan seorang lelaki tempatan dipercayai pengurus gudang tersebut, menemukan 4,685 liter air zamzam bernilai RM117,200 dan lelaki itu gagal mengemukakan sebarang permit import bagi dagangan itu.

"Air zamzam atau air mineral adalah barang larangan dan pengimportannya dibenarkan dengan syarat mempunyai lesen import di bawah Butiran 35, Bahagian I, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Bagi rampasan rokok, Norlela berkata pemeriksaan ke atas sebuah gudang di Pelabuhan Utara pada 13 Jun lepas dan serbuan ke sebuah premis tidak berpenghuni di Seri Kembangan tujuh hari kemudian telah membawa kepada penemuan 670,000 batang rokok dengan anggaran nilai dan cukai berjumlah RM505,100.

Beliau berkata rokok yang dirampas di Pelabuhan Utara telah diikrar sebagai 'Bicycle Parts' dalam dokumen perkapalan manakala modus operandi di Seri Kembangan menggunakan premis tidak berpenghuni sebagai stor penyimpanan barang tidak berkastam bagi mengelak dikesan JKDM. 

JKDM turut merampas barangan seludup berupa 644.64 liter minuman keras pelbagai jenama; 2,816 keping jubin yang dibawa masuk tanpa sijil kelulusan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan 200 unit alat permainan seks, di lokasi berbeza di Lembah Klang.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan