AM

LEBIH 300 PESERTA PMKS TEMPATAN, ASEAN DAN HONG KONG, CHINA SERTAI PERKONGSIAN AMALAN ESG

28/06/2024 11:05 AM

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- ASEAN Hong Kong, China (AHKC) SMEs Going ESG Policy Dialogue and Workshop 2024 membuka tirai hari ini dengan penyertaan lebih 300 pemain perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan, negara anggota ASEAN dan Hong Kong, China.

Majlis perasmian program anjuran SME Corporation Malaysia (SME Corp) itu diadakan bersempena sambutan Hari PMKS Sedunia 2024 yang disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Rizal Nainy berkata penganjuran program tersebut bertujuan untuk menerapkan kesedaran tentang amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta kepentingannya terhadap industri PMKS.

Beliau berkata acara selama dua hari bertema ‘Memperkasa Kelestarian PMKS’ itu akan turut diisi dengan sesi dialog yang memberi tumpuan kepada pembangunan dasar untuk menggalakkan penerapan amalan ESG dalam kalangan PMKS.

“Kita akan ada satu bengkel untuk peserta meneliti apakah kepentingan ESG kepada mereka.

“(Selain itu) Penyertaan (pada program) ini bukan hanya di peringkat PMKS Malaysia, tetapi juga ASEAN dan Hong Kong, China. Jadi ini bukan sahaja untuk memberi ilmu berkenaan ESG, tetapi juga untuk jaringan perniagaan sesama PMKS di ASEAN termasuk Hong Kong,  China,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian program itu.

Rizal berkata PMKS yang bersedia dalam menerapkan ESG mempunyai kelebihan besar untuk mengakses pasaran tempatan dan global.

Sehubungan itu, beliau berkata SME Corp melancarkan Panduan Pantas ESG untuk PMKS bagi memudahkan penerapan amalan ESG dalam kalangan PMKS yang boleh dimuat turun secara percuma di laman sesawang agensi berkenaan.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Ewon berkata menggalakkan penerapan amalan ESG terhadap PKS merupakan satu usaha ke arah mengukuhkan komitmen kerajaan terhadap Agenda Pembangunan Mampan 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Perjanjian Paris di bawah Persidangan Rangka Kerja PBB mengenai Perubahan Iklim.

“Mempercepatkan penerapan ESG juga merupakan antara inisiatif yang dirancang di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan