AM

BEKAS DUTA BESAR KE BELANDA NOOR FARIDA MENINGGAL DUNIA

27/06/2024 05:44 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Bekas Duta Besar Malaysia ke Belanda Datuk Noor Farida Ariffin meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur, hari ini.

Noor Farida, seorang daripada pengasas bersama kumpulan bekas penjawat awam kanan G25, meninggal dunia pada usia 76 tahun.

Setiausaha G25 Jasmine Zulkifli, mengesahkan kematian Noor Farida.

“Saya dimaklumkan oleh keluarganya bahawa Noor Farida baru sahaja meninggal dunia.

“Keluarganya akan membawa jenazah Allahyarham ke Masjid Kampung Baru,” katanya dalam pesanan ringkas.

Sementara itu Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Penasihat Kumpulan Star Media Datuk Seri Wong Chun Wai berkata beliau berdukacita atas pemergian Allahyarham.

Menyifatkan Noor Farida sebagai seorang rakan dan felow yang berfahaman sederhana, beliau berkata Malaysia telah kehilangan satu figura dengan pandangan yang rasional dan berperikemanusiaan.

“Beliau akan sentiasa memperjuangkan Malaysia yang sederhana,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Sungai Benut Mohamed Tawfik Ismail pula berkata Noor Farida merupakan seorang bekas peguam, hakim dan duta yang berwibawa.

“Pemergiannya adalah satu kehilangan yang besar untuk G25. Saya ucapkan takziah kepada keluarga beliau,” kata anggota G25 itu.

Mohamed Tawfik yang juga anak sulung kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Dr Ismail Abdul Rahman berkata Noor Farida juga merupakan antara individu yang lantang memperjuangkan hak wanita dalam perkhidmatan awam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan