AM

LPNM MAHU JADIKAN NANAS SEBAGAI BUAH KEBANGSAAN

27/06/2024 03:36 PM

PONTIAN, 27 Jun (Bernama) -- Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) berhasrat untuk menjadikan nanas sebagai buah kebangsaan.

Pengerusi berkenaan Sheikh Umar Bagharib Ali berkata LPNM sedang dalam usaha ke arah itu, namun perancangan mengenainya masih dalam peringkat awal.

“Kita melihat nanas berpotensi bukan sahaja dari segi nilai ekonomi, tetapi pada pandangan saya, karakter (ciri) nanas itu sendiri juga yang (menjadikannya) boleh diangkat sebagai buah kebangsaan.

“…(justeru) usaha di peringkat lembaga ini akan diangkat kepada menteri (Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu) dan perkara ini mesti sampai terus kepada kabinet dan ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Nanas Malaysia 2024 di Alor Bukit di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah LPNM Mohd Khairuzamri M Salleh.

Sheikh Umar Bagharib dalam pada itu berkata nanas bukan sahaja telah membantu mengeluarkan pekebun kecil daripada kemiskinan tetapi ia turut meningkatkan pendapatan ekonomi negara.

Selain itu, menurut beliau, nanas mempunyai ciri yang berguna dengan konsep sekali tanaman iaitu ‘Sekali Tanam,Tiga Kali Tuai’ dan sifar sisa, selain gabungan mata-mata nanas yang memperlihatkan kesepaduan rakyat Malaysia.

“Jadi, saya yakin dan percaya, perkara ini apabila diangkat (kepada kementerian) akan mendapat perhatian dan pertimbangan positif dari pihak atasan,” katanya.

Terdahulu beliau berkata LPNM merancang untuk menjadikan Sambutan Hari Nanas Malaysia sebagai sambutan dwi tahunan yang akan disambut pada setiap 27 Jun iaitu bersamaan dengan Sambutan Hari Nanas Sedunia.

“Tahun 2024 merupakan tahun untuk memperkenalkan Hari Nanas Malaysia kepada masyarakat dengan pelbagai bentuk publisiti dan kempen melalui siri jelajah yang dijalankan di seluruh negara.

“Manakala, tahun depan akan menjadi tahun pertama sambutan Hari Nanas Malaysia dan dijangka disambut secara lebih besar dan meriah,” katanya.

Beliau berkata Sambutan Hari Nanas Malaysia antaranya diraikan untuk mengenang kejayaan industri nanas yang telah memberikan sumbangan besar kepada ekonomi negara serta bagi memperkukuhkan hubungan antara semua pihak yang terlibat. 

“Industri ini turut menyediakan peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup komuniti luar bandar melalui inovasi dan teknologi,” katanya.

Seramai kira-kira 550 orang hadir meraikan perasmian Sambutan Hari Nanas Malaysia 2024 dengan pelbagai acara diadakan termasuk kenduri rakyat yang menampilkan sembilan menu berasaskan nanas, Town Hall LPNM, Pineapple Fun Run dan Pineapple Carving.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan