AM

PROJEK ASNAFPRENUER: PPZ-MAIWP, BANK RAKYAT DAN UMSKAL BANTU 50 USAHAWAN ASNAF DI LABUAN

27/06/2024 05:01 PM

LABUAN, 27 Jun (Bernama) -- Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dengan kerjasama Bank Rakyat dan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) hari ini melancarkan Projek Asnafpreneur Bank Rakyat 2.0.

Ketua Wilayah Sabah Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Md. Azmi Mohd Taib berkata penganjuran projek siri kedua itu adalah inisiatif tiga institusi tersebut dalam membantu usahawan asnaf berpotensi di Labuan memantapkan lagi kemahiran keusahawanan mereka di samping mengembangkan perniagaan sedia ada.

“Sebanyak 50 peserta yang dipilih oleh MAIWP bakal menerima RM5,000 seorang menerusi dana wakalah Bank Rakyat dengan jumlah keseluruhan sumbangan bernilai RM250,000.

“Selain itu, usahawan berkenaan juga akan diberi bimbingan menerusi sistem latihan dan pemantauan oleh UMSKAL secara berkala dalam tempoh enam bulan bagi mengukuhkan kebolehan berniaga mereka,” katanya pada Majlis Pelancaran Projek Asnafpreneur Bank Rakyat 2.0 di Menara UMSKAL di sini hari ini.

Beliau berkata projek tersebut mencerminkan komitmen berterusan Bank Rakyat dalam membantu membina masyarakat yang progresif dan inklusif melalui inisiatif pembangunan pemerkasaan usahawan, khususnya bagi meningkatkan status komuniti asnaf demi kesejahteraan serta kemakmuran ekonomi mereka.

"Menerusi inisiatif ini, Bank Rakyat berharap dapat terus membantu meningkatkan keupayaan usahawan asnaf di Labuan dalam membina kewangan yang lebih kukuh bagi menghadapi cabaran dan rintangan pada masa hadapan selain memberi peluang untuk mereka lebih proaktif dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata pada tahun lepas Bank Rakyat menerusi dana wakalah perniagaan telah menyumbang sebanyak RM150,000 kepada 30 usahawan asnaf Labuan dengan setiap peserta menerima RM5,000 seorang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Datuk Abdul Hakim Amir Osman percaya projek tersebut berjaya mengukuhkan lagi jalinan kerjasama antara PPZ-MAIWP dengan Bank Rakyat dan UMSKAL.

Menurutnya jalinan kerjasama antara tiga insitusi itu membuktikan setiap pihak memainkan peranan dan bertanggungjawab dalam membangunkan pertumbuhan ekonomi yang seimbang dalam masyarakat.

“Justeru, PPZ-MAIWP menyeru syarikat korporat untuk menunaikan zakat di PPZ-MAIWP agar ramai asnaf di Wilayah Persekutuan, termasuk Labuan dapat dibantu,” katanya.

Pengarah UMSKAL Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abdul Hamid pula berkata kerjasama seumpana ini perlu diperbanyakkan lagi kerana antara fungsi UMSKAL adalah untuk berkhidmat kepada masyarakat setempat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan