AM

YWP BAKAL LAKSANA PROGRAM PRASEKOLAH BERSUBSIDI BANTU GOLONGAN MEMERLUKAN

27/06/2024 06:33 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) merancang untuk melancarkan program khas bagi menyediakan pusat jagaan kanak-kanak prasekolah untuk membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup golongan berpendapatan rendah.

Pengarah Eksekutifnya Abdul Rahman Siraj berkata pihaknya turut bercadang menyediakan subsidi bagi bayaran prasekolah yang semakin meningkat pada masa ini.

"Program prasekolah ini selain dapat mengurangkan kos sara hidup, juga menyediakan kokurikulum berbeza dengan penekanan untuk memupuk nilai moral yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak," katanya dalam berkongsi maklumat mengenai program-program bantuan yang dijalankan oleh YWP.

Beliau berkata demikian selepas mengunjungi pihak pengurusan Bernama di Wisma Bernama di sini hari ini, yang bertujuan memperkukuhkan hubungan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam usaha meningkatkan taraf hidup warga Wilayah Persekutuan.

Pertemuan disertai oleh Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Azlina Aziz dan Pengurus Kanan YWP Datin Dr Ida Harlina.

Sementara itu Abdul Rahman berkata pada pertemuan hari ini, YWP turut menyatakan hasrat untuk menjalin kerjasama strategik dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi tujuan perkongsian maklumat dan latihan.

"Kita mahu meletakkan pegawai-pegawai media kami buat sementara atau mengikuti latihan dengan pihak Bernama supaya mereka dapat belajar dengan lebih profesional dari segi editorial, infografik dan berkaitan pengurusan media selain mempelajari teknologi baharu dalam penggunaan media dan aplikasi.

"Ini kerana kami menyediakan berita melalui surat khabar untuk disebarluaskan kepada warga Wilayah Persekutuan, jadi pegawai-pegawai yang terlibat dengan media ini akan cuba diletakkan di bawah Bernama supaya mereka dapat ilmu baharu.

Abdul Rahman berkata pihaknya berharap satu Memorandum Persefahaman (MoU) dapat ditandatangani antara kedua-dua pihak dalam masa terdekat supaya kerjasama itu dapat direalisasikan dengan lebih berstruktur.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan