EKONOMI

PENGURUSAN SYARIKAT DI BAWAH YPB PERLU TERJEMAH VISI DAN DASAR KERAJAAN SECARA MENYELURUH - PM ANWAR

27/06/2024 07:05 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Pengurusan syarikat-syarikat di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) perlu menterjemah visi dan dasar kerajaan secara menyeluruh didasari dengan mandat yang diberikan sejak penubuhannya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024, Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) adalah di bawah pemilikan YPB dan ini adalah sebahagian daripada strategi pemusatan institusi pelaburan bumiputera melalui YPB.

“Saya tekankan kepentingan pengurusan syarikat-syarikat di bawah YPB agar menterjemah visi dan dasar kerajaan secara menyeluruh.

“Selain pulangan kewangan kepada pelabur, penting bagi diterapkan inisiatif pembangunan masyarakat berkaitan ilmu pengurusan kewangan, keusahawanan dan inovasi.

“Selain itu, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB) perlu menjadi peneraju dalam menyokong usaha kerajaan terkait hala tuju dan isu seperti ekonomi hijau, pemodenan industri pertanian dan gaji yang setimpal,” kata beliau dalam catatan di laman X hari ini.

Terdahulu, Anwar mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah YPB Bilangan 1 Tahun 2024 dan ia mempunyai peranan penting dalam agenda pembangunan bumiputera melalui kumpulan syarikat di bawah PNB, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Universiti Tun Abdul Razak.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan