AM

UNITAR SEDIA BIASISWA RM1 JUTA KEPADA ANAK PULAU PINANG TAHUN INI

27/06/2024 07:26 PM

GEORGE TOWN, 27 Jun (Bernama) -- Kumpulan Pendidikan UNITAR memperuntukkan RM1 juta biasiswa penuh kepada 20 pelajar golongan B40 yang layak di Pulau Pinang pada tahun ini bagi membantu mereka mendapatkan pendidikan tinggi sekali gus mengubah nasib keluarga.

Naib Canselor Universiti Antarabangsa UNITAR Prof Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata biasiswa itu meliputi yuran pengajian dan penginapan untuk keseluruhan tempoh pengajian di universiti berkenaan.

"Ini merupakan tahun kedua kami menawarkan biasiswa untuk pelajar golongan B40 di Pulau Pinang dan tahun lepas UNITAR memperuntukkan RM1 juta biasiswa penuh kepada 13 pelajar golongan sama di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penganugerahan biasiswa berkenaan di bawah inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang di sini hari ini.

Terdahulu, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak menyampaikan biasiswa  tersebut dan turut dihadiri Ketua Menteri Chow Kon Yeow serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan UNITAR P. Balachandran.

Sahol Hamid berkata pelajar terpilih mempunyai fleksibiliti mengikuti program konvensional atau dalam talian di mana-mana kampus UNITAR di seluruh negara bermula dari peringkat asasi atau diploma dengan peluang untuk meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Dalam pada itu Chow menzahirkan penghargaan kepada UNITAR kerana menyediakan peruntukan biasiswa kepada anak-anak Pulau Pinang yang akan menjadi pemangkin kejayaan akademik mereka.

“Ini selari dengan visi dan misi kerajaan negeri dalam memberikan pengiktirafan terhadap bakat serta potensi anak-anak Pulau Pinang," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan