EKONOMI

FITCH KEKAL PENARAFAN KREDIT BERDAULAT MALAYSIA PADA BBB+, TINJAUAN STABIL

27/06/2024 07:29 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Fitch Ratings (Fitch) mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada BBB+ dengan tinjauan stabil, disokong oleh kepelbagaian ekonomi dan asas eksport.

Pengarah Bersekutu Kedaulatan Asia Pasifiknya Kathleen Chen berkata prospek pertumbuhan jangka sederhana yang kukuh, serta lebihan akaun semasa turut menyokong penarafan itu. 

“Kami menjangkakan keluaran dalam negara kasar (KDNK) akan pulih pada 2024. Permintaan dalam negeri yang berdaya tahan telah memacu pemulihan selepas pandemik COVID-19.

"Pelaburan berterusan dalam sektor pembuatan serta pemulihan permintaan luaran juga dijangka meningkatkan pengeluaran pembuatan dan eksport pada 2024," katanya menerusi webinar Fitch’s Asia-Pacific Sovereign Credit Highlights hari ini.

Chen berkata Malaysia memiliki rekod baik dalam pelaburan asing yang diluluskan dalam sektor pembuatan beberapa tahun kebelakangan ini, dan beliau menjangkakan lebih banyak pelaburan direalisasikan dalam tempoh terdekat. 

"Kepelbagaian asas eksport negara dan juga ekosistem pembuatan yang kompetitif boleh membantu ia mendapat manfaat daripada kepelbagaian rantaian bekalan global," katanya.

Beliau berkata peningkatan dalam kewangan awam, seperti aliran menurun dalam hutang kerajaan am adalah antara faktor yang mampu membawa kepada penarafan positif.

Meskipun kestabilan politik bertambah baik baru-baru ini, pertimbangan politik mungkin masih memainkan peranan dalam pembaharuan struktur jangka panjang atau pelarasan fiskal, katanya.

Sementara itu, beliau berkata penyatuan fiskal jangka pendek Malaysia dijangka didorong terutamanya oleh rasionalisasi subsidi.

“Malaysia beralih kepada mekanisme subsidi yang lebih bersasar, bermula dengan elektrik tahun lepas, dan baru-baru ini diesel.

“Jadi, kami menjangkakan perbelanjaan untuk subsidi akan terus berkurangan, tetapi sebahagian daripada simpanan itu akan disalurkan semula kepada bantuan tunai untuk golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Sementara itu, ketua negara Fitch Asia Pasifik Thomas Rookmaaker berkata kebanyakan negara di rantau Asia Pasifik menerima tinjauan penarafan yang stabil, kecuali China, yang menerima penarafan negatif.

Berlaku kelemahan sektor hartanah yang berterusan di China, serta kemungkinan kelewatan pelonggaran monetari global, dan risiko geopolitik yang meningkat di Asia, terutamanya dikaitkan dengan ketegangan AS-China, Taiwan dan Laut China Selatan, katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan