AM

RANG UNDANG-UNDANG KESELAMATAN SIBER DIWARTA PADA SUKU KETIGA 2024

28/06/2024 10:24 AM

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Pewartaan tarikh kuat kuasa Rang Undang-Undang Keselamatan Siber 2024 dijadual dilaksanakan pada suku ketiga tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat di laman sesawang Parlimen, Dr Zaliha berkata pewartaan tarikh kuat kuasa rang undang-undang itu hanya boleh dibuat selepas proses penggubalan peraturan siap dan draf diluluskan Jabatan Peguam Negara. 

Sehubungan itu, beliau berkata Agensi Keselamatan Siber Negara di bawah Majlis Keselamatan Negara (NACSA) sudah mengenal pasti dan sedang menyediakan draf empat peraturan.

“Ia merangkumi Peraturan-Peraturan Keselamatan Siber (Pelesenan Pemberi Perkhidmatan Keselamatan Siber) 2024; Peraturan-Peraturan Keselamatan Siber (Pengkompaunan Kesalahan) 2024; Peraturan-Peraturan Keselamatan Siber (Penilaian Risiko dan Audit) 2024; dan Peraturan-Peraturan Keselamatan Siber (Pemberitahuan Insiden Keselamatan Siber) 2024.

“Rang undang-undang itu akan dikuatkuasakan sepenuhnya bagi meyakinkan rakyat bahawa persekitaran siber di negara ini selamat sepenuhnya daripada sebarang bentuk serangan siber,” katanya.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang bertanyakan bila Rang Undang-Undang Keselamatan Siber 2024 akan dikuatkuasakan sepenuhnya.

Dewan Rakyat pada 27 Mac lepas (Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Parlimen ke-15) meluluskan Rang Undang-undang Keselamatan Siber 2024 bagi meningkatkan keselamatan siber negara menerusi pematuhan terhadap langkah, standard dan proses tertentu dalam pengurusan ancaman keselamatan siber.

Rang undang-undang itu kemudian diluluskan Dewan Negara pada 3 April.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan