AM

TUNKU MAHKOTA ISMAIL BERKENAN SEMPURNAKAN 100 TAHUN TAMBAK JOHOR

28/06/2024 12:34 PM

JOHOR BAHRU, 28 Jun (Bernama) -- Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail berkenan menyempurnakan Majlis Sambutan 100 Tahun Perasmian Tambak Johor di tengah-tengah tambak yang menghubungkan sempadan antara Malaysia dan Singapura itu hari ini.

Tunku Mahkota Ismail turut berkenan menyaksikan pelepasan 100 ekor burung merpati oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Luar republik itu Vivian Balakrishnan sebagai simbolik upacara berkenaan.

Pada majlis itu, kedua-dua delegasi melibatkan kepimpinan kerajaan negeri Johor dan kerajaan Singapura turut bertukar cenderahati menandakan hubungan utuh satu abad.

Turut hadir, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Dr Abdul Rahim Ramli, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani serta Pengerusi Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) Datuk Seri Hasni Mohammad. 

Majlis bersejarah itu berlangsung selama 10 minit di atas Tambak Johor yang dianggap sebagai laluan darat “paling sibuk di dunia” dan tamat pada 9.05 pagi.

 

Setelah keberangkatan pulang Pemangku Sultan Johor, majlis diteruskan dengan delegasi kehormat lain melawat Pameran Sambutan 100 Tahun Perasmian Tambak Johor di Muzium Tokoh Johor, Bukit Senyum, di sini.

 

Delegasi yang diketuai Onn Hafiz itu kemudian berangkat ke Masjid Temenggong Ibrahim, Teluk Blangah, Singapura untuk menunaikan solat Jumaat sebelum ke Pameran Sambutan 100 Tahun Tambak Johor di Woodlands Civic Centre, Singapura.

Tambak Johor atau dikenali juga sebagai Koswe merupakan sambungan laluan darat antara Malaysia dan Singapura sepanjang 1,056 meter yang dirasmikan pada 1924, diikuti Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), Iskandar Puteri dibuka pada 1998. 

Dianggarkan 350,000 pengembara berulang-alik antara kedua-dua negara setiap hari menggunakan pelbagai jenis kenderaan bermotor dan kereta api di Tambak Johor yang turut selain menempatkan laluan paip yang membekalkan air mentah kepada Singapura.

Sementara itu, Onn Hafiz berkata kepada pemberita, majlis itu sangat signifikan khususnya untuk warga Johor dan Singapura sebagai tanda kerjasama erat yang telah terjalin antara kedua-dua pihak selama ini.

“Kami berharap majlis ini akan mengukuhkan lagi semangat persaudaraan dan kejiranan antara Malaysia dan Singapura, serta Johor,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan