POLITIK

PRK SG BAKAP: CALON PH TIDUR TIGA JAM, UBAH RUTIN HARIAN SANTUNI PENGUNDI

28/06/2024 12:57 PM

NIBONG TEBAL, 28 Jun (Bernama) -- Rutin kehidupan calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin berubah dengan hanya tidur tiga jam sehari, sejak kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap kian hangat.

Gelombang kempen yang berbaki kurang seminggu lagi dianggap tempoh sangat kritikal bagi bekas guru berusia 60 tahun itu yang mesra disapa Cikgu Joo yang akan mula menyantuni pengundi sebaik selesai solat subuh sebelum programnya berakhir selepas 12 tengah malam.

Yang pasti, beliau tidak kisah mengorbankan waktu rehatnya demi menambat hati pengundi lebih-lebih lagi bagi memastikan gerak kerja kempen yang diatur jentera Perpaduan berjalan lancar.

"Jadual kerja kempen paling kurang yang diaturkan sebanyak 12 program sehari pada hari minggu dan akan berganda program dan kempen pada hujung minggu nanti.

"Setakat ini, kempen bertemu pengundi telah mencapai lebih 50 peratus," katanya selepas menyantuni peniaga di Pasar Malam Sungai Duri di sini semalam, yang turut dihadiri Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal.

Bagi mengekalkan kecergasan dan kekal sihat sepanjang berkempen, anak jati Sungai Bakap itu berkongsi beliau turut mengambil makanan dan ubat-ubatan tambahan mengikut saranan.

"Sebenarnya kempen kita telah bermula lebih awal lagi sebelum penamaan calon, jadi saya akan teruskan berkempen jumpa pengundi sebanyak yang boleh sampai 5 Julai nanti," katanya.

Joohari berkata setakat seminggu berkempen, respons dalam kalangan kaum ibu terutamanya pengundi Melayu dilihat positif dalam menzahirkan sokongan kepadanya.

"Sepanjang separuh masa berkempen, ia semakin positif dan pengundi yang kita jumpa melahirkan rasa kepercayaan kepada kita dan saya percaya kalau momentum ini berterusan, Insya-Allah kita akan mencapai kejayaan dalam PRK kali ini.

"Kalau ada yang menolak, itu kita faham...kita mendengar dan mencatat setiap keluhan dan ini satu keutamaan kita. Jadi setiap isu yang diutarakan akan kita buat pemeringkatan dahulu dan kita akan utamakan selepas PRK selesai, sekiranya saya dipilih menjadi wakil rakyat," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding Sabtu lepas hingga 11.59 malam, 5 Julai.

Joohari dicabar Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam pertembungan satu lawan satu pada PRK DUN Sungai Bakap 6 Julai ini, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas, akibat keradangan dalam perut.

Sungai Bakap yang merupakan satu daripada tiga DUN di bawah Parlimen Nibong Tebal mempunyai 39,279 pemilih terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan