SUKAN

SUKAN OLIMPIK 2024: TANG JIE-EE WEI MAHU 'CUNGKIL' RAHSIA WIDIANTO

28/06/2024 02:15 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Beregu campuran utama negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mahu mencungkil 'rahsia’ jurulatih mereka, Nova Widianto, yang pernah menyumbang pingat perak buat kontinjen Indonesia pada penampilan keduanya bergandingan dengan Liliyana Natsir di Sukan Olimpik Beijing 2008.

Widianto membuat penampilan sulung pada edisi 2004 di Athens bersama gandingannya Vita Marissa menyaksikan mereka terkandas di suku akhir apabila tewas 12-15, 8-15 kepada gandingan Denmark Jens Eriksen-Matte Schjoldager.

Pada edisi di Beijing, Widianto-Liliyana yang diletakkan sebagai pilihan utama tewas kepada pasangan Korea Selatan Lee Yong Dae-Lee Hyo Jung 21--11, 21-17.

Bagi Tang Jie yang akan membuat penampilan sulung bersama Ee Wei di temasya Sukan Olimpik Paris 2024, beliau amat memerlukan panduan penting daripada jurulatih berusia 46 tahun itu untuk bagaimana berdepan suasana pertandingan berintensiti tinggi.

“Selain persediaan mental, intensiti pertandingan juga tidak sama dengan kejohanan lain. Kami sememangnya tiada pengalaman beraksi di Sukan Olimpik. Jadi kami perlu bertanya kepada jurulatih mengenai persiapannya sebelum ini,” katanya kepada Bernama.

Menurut pemain kelahiran Ipoh, Perak itu, kesemua pemain yang beraksi pada Sukan Olimpik kali ini mempunyai peluang sama rata untuk memenangi pingat emas, tidak kira sama ada gandingan terbaik dunia mahupun yang di ranking lebih rendah.

Tang Jie bersama Ee Wei yang kini menghuni ranking kesembilan dunia berkata intensiti akan dipertingkatkan pada minggu terakhir latihan mereka yang lebih menumpukan kepada prestasi, mental dan fizikal sebelum berdepan lawan mereka yang kemungkinan dalam kelompok tiga terbaik dunia.

Pemain berusia 26 tahun itu berkata rekod pertemuan tidak menyebelahi mereka ketika berdepan gandingan utama dunia dari China Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dan pernah menang sekali daripada tiga pertemuan masing-masing bertemu Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping iaitu pasangan kedua dunia juga dari China dan Yuta Watanabe-Arisa Higashino ketiga dunia dari Jepun.

Sementara itu, Tang Jie mengakui wujudnya tekanan apatah lagi mereka melangkah ke pentas Olimpik buat kali pertama.

“Saya harap kami mampu mengatasi tekanan itu dan bebas daripada sebarang kecederaan menjelang aksi di Paris,” katanya.

Untuk rekod, Tang Jie-Ee Wei muncul naib juara pada kejohanan badminon Master Thailand dan Terbuka Swiss tahun ini.

 

Profil pemain:

 

Chen Tang Jie

Umur: 26 tahun

Negeri kelahiran: Perak

Tinggi: 1.80 cm

 

Toh Ee Wei

Umur: 23 tahun

Negeri kelahiran: Melaka

Tinggi: 1.62 cm

 

Sebagai pasangan:

 

Penampilan Olimpik: Kali pertama 

Ranking tertinggi: Kedudukan kelapan (12 Dis 2023)

 

Pencapaian:

    1.    Juara Masters Orleans 2023 

    2.    Juara Terbuka Taiwan 2023

    3.    Naib juara Masters Thailand 2024

    4.    Naib juara Terbuka Swiss 2024

    5.    Pingat gangsa Piala Sudirman 2023 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan