DUNIA

NIGERIA MUSNAHKAN 165 KILANG PENAPISAN MINYAK HARAM DALAM SEMINGGU

28/06/2024 03:19 PM

ABUJA (Nigeria), 28 Jun (Bernama-Anadolu) -- Sebanyak 165 kemudahan penapisan minyak mentah curi secara haram telah dimusnahkan di Nigeria pada minggu lepas, kata Nigerian National Petroleum Corporation Ltd (NNPCL) pada Khamis.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NNPCL, Mele Kyari, berkata kira-kira 400 insiden kecurian minyak dan vandalisme juga dilaporkan oleh agensi keselamatan kerajaan dan swasta di wilayah Delta Niger dalam tempoh itu, lapor Agensi Anadolu.

Kyari menyatakan bahawa NNPCL dengan kerjasama tentera Nigeria telah menjalankan operasi di Delta Niger.

Menurut beliau, selain memusnahkan kilang penapisan minyak haram,  sebanyak 39 sambungan talian paip tanpa kebenaran turut dihapuskan dalam operasi itu.

Senator Nigeria, Ned Nwoko sebelum ini mengumumkan bahawa negara itu kehilangan lebih US$3 bilion tahun lalu akibat peningkatan kecurian minyak dan serangan talian paip.

Negara itu mempunyai kira-kira 37 bilion tong rizab minyak mentah, menyumbang 3.1 peratus daripada rizab global.

Nigeria, yang berada di kedudukan antara 15 negara pengeluar minyak mentah utama di dunia mempunyai rizab minyak ke-10 terbesar dunia dan keenam dari segi eksport minyak.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan