AM

KKM LANCAR KAJIAN PEMETAAN PENJAGAAN KESIHATAN FASA 1

28/06/2024 03:41 PM

PUTRAJAYA, 28 Jun (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) telah melancarkan Kajian National Health Demand and Supply Fasa 1, bertujuan memetakan landskap penjagaan kesihatan Malaysia untuk dua dekad akan datang.

Dengan kolaborasi Kumpulan Bank Dunia, kajian itu menumpukan analisis komprehensif situasi penjagaan kesihatan di seluruh negara merangkumi aspek fasiliti kesihatan, peralatan dan sumber manusia.

KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia bertujuan untuk mengatasi ketidakseimbangan pengagihan sumber penjagaan kesihatan negara, merangkumi hospital dan klinik sehingga perkhidmatan berkepakaran serta peralatan berteknologi tinggi.

“Dengan menetapkan standard kebangsaan untuk aset kesihatan yang penting, KKM sedang berusaha untuk menambah baik sistem kesihatan yang lebih seimbang, mampan dan cekap.

“Kajian ini akan meramalkan keperluan kesihatan negara sehingga tahun 2045, bagi memastikan Malaysia bersedia untuk memenuhi keperluan rakyat yang semakin berkembang di samping membantu dalam peralihan Malaysia ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi,” menurut KKM.

Justeru, KKM menyeru sektor kesihatan awam dan swasta untuk menyertai kaji selidik dalam talian sebelum 15 Julai 2024 bagi membentuk masa depan penjagaan kesihatan di Malaysia yang lebih baik di samping memastikan setiap rakyat mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan terbaik.

Menurut KKM, data yang diperoleh daripada kaji selidik berkenaan tertakluk kepada kerahsiaan dan tidak akan dikongsikan dengan pihak dari luar pasukan kajian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan