AM

CHINA YAKIN DENGAN SISTEM PENDIDIKAN MALAYSIA

28/06/2024 04:24 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Sebanyak 17 institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh China menawarkan pembelajaran Bahasa Melayu sehingga hari ini menjadi bukti negara Tembok Besar itu yakin dengan sistem pendidikan negara.

Menurut Duta Besar Malaysia ke Republik Rakyat China Datuk Norman Muhamad, kejayaan itu pastinya sukar tanpa usaha Beijing Foreign Studies University (BFSU) yang bertindak sebagai pengasas program Pengajian Bahasa Melayu di China sejak 1961.

"Mengenang jasa BFSU yang telah tersemai sekian lama, maka ia mendorong kehadiran saya untuk berada di sini bagi menzahirkan ucapan terima kasih Kerajaan Malaysia kepada BFSU," katanya yang turut berterima kasih kepada China kerana menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi menyambung pengajian.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam bahasa Melayu sempena majlis konvokesyen BFSU di Beijing pada Jumaat.

Turut hadir Timbalan Ketua Perwakilan Beijing Norfarina Mohd Azmee dan Pengarah Pejabat Education Malaysia-Beijing, Muhammad Sallehuddin Mohd Dilif.

Dalam perkembangan sama, Norman turut menggalakkan program pertukaran pelajar menerusi pelancongan pendidikan dipergiatkan.

Katanya, insiatif itu dapat menggalakkan penghayatan yang lebih mendalam terhadap aspek bahasa dan budaya.

"Dunia ketika ini berdepan dengan pelbagai cabaran dan isu global, maka pegangan prinsip 'Excellence with a Soul' amat penting dalam membina daya tahan negara dan serantau, serta pembentukan dasar yang mampan. 

"Mahasiswa bukan bersandar pada kecemerlangan akademik semata-mata, sebaliknya perlu diimbangi dengan aspek sahsiah dan semangat dalam aktiviti kemasyarakatan serta berkongsi kepakaran demi menjadikan dunia lebih baik. selari dengan konsep 'Komuniti Berkongsi Masa Depan' yang digagaskan oleh Presiden Xi Jinping," katanya.

Seramai 3,000 graduan berjaya menamatkan pengajian masing-masing termasuk 35 mahasiswa Malaysia dan 22 mahasiswa China berjaya menamatkan pengajian dalam program Pengajian Melayu di BFSU.

Penempatan Kursi Pengajian Melayu Malaysia - China di BFSU telah bermula sejak 2007 dan Kerajaan Malaysia telah mengiktiraf universiti itu sebagai Pangkalan Pengembangan Bahasa Melayu di Republik Rakyat China pada 2014.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan