POLITIK

TOK PA ULANGI PENDIRIAN SUDAH ‘PENCEN’ DARIPADA POLITIK

28/06/2024 05:38 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Bekas Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa beliau sudah ‘pencen’ daripada politik apabila membuat keputusan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) itu memaklumkan perkara itu telah diumumkan beliau pada 2 Nov 2022. 

“Saya ingin memaklumkan bahawa saya telah pun meletakkan jawatan sebagai ahli dan semua jawatan dalam parti Bersatu pada 30 Sept 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Pengerusi Bersatu Kelantan Datuk Kamaruddin Mohd Nor semalam mengenai calon pilihan raya di dua kawasan di Kelantan iaitu Parlimen Jeli dan Parlimen Gua Musang.

Kamaruddin berkata Bersatu Kelantan sedia memberi laluan kepada ahli politik berpengaruh termasuk Annuar Musa dan Mustapa Mohamed bertanding di Parlimen Gua Musang serta Jeli, jika PRK diadakan kelak.

Pada 20 Jun lalu, Ketua Whip Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dalam kenyataan memaklumkan notis pemakluman kekosongan kerusi enam Ahli Parlimen Bersatu yang terhenti keahliannya secara serta-merta telah diserah dan diterima pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Ia membabitkan kerusi Parlimen Jeli dan Gua Musang (Kelantan), Bukit Gantang dan Kuala Kangsar (Perak), Tanjong Karang (Selangor) dan Labuan (Wilayah Persekutuan).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan