JENAYAH & MAHKAMAH

KEPUTUSAN PERMOHONAN MYAIRLINE BATAL SAMAN MALAYSIA AIRPORTS, 16 OGOS INI

28/06/2024 08:20 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Keputusan permohonan MYAirline Sdn Bhd membatalkan saman difailkan Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd bagi menuntut syarikat itu membayar RM17.7 juta susulan kegagalannya melunaskan caj perkhidmatan lapangan terbang, akan diputuskan 16 Ogos ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Gan Techiong menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada peguam Nesema Jalaludheen mewakili MYAirline dan peguam Shannon Rajan mewakili Malaysia Airports (Sepang) serta Malaysia Airports Sdn Bhd selaku plaintif.

Pada 24 Nov tahun lepas, MYAirline memfailkan permohonan tersebut atas alasan plaintif perlu menggunakan satu mekanisme penyelesaian pertikaian seperti dinyatakan dalam Seksyen 74 hingga 78 Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 sebelum memfailkan saman tersebut.

Oleh itu, tindakan plaintif adalah tidak sah atau pramatang kerana mereka tidak mematuhi serta tidak menggunakan mekanisme penyelesaian pertikaian  tersebut.

Kedua-dua plaintif membantah permohonan tersebut kerana mekanisme penyelesaian di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia tidak terpakai untuk perkara itu.

Selain itu, kedua-dua plaintif juga memfailkan permohonan untuk mendapatkan penghakiman terus pada 9 Nov 2023, atas alasan wang dituntut daripada defendan masih terakru dan terhutang selain defendan tidak mempunyai sebarang pembelaan terhadap tindakan saman itu.

Malaysia Airports (Sepang) dan Malaysia Airports Sdn Bhd selaku plaintif memfailkan saman itu pada 18 Okt 2023, dengan mendakwa MYAirline sebagai defendan gagal membayar enam jenis caj perkhidmatan kepada kedua-dua plaintif yang keseluruhannya berjumlah RM17,747,553.02.

Dakwanya, caj tertunggak yang perlu defendan bayar adalah perkhidmatan penumpang (PSC) dan perkhidmatan keselamatan penumpang (PSSC) berjumlah RM10,863,478.90, pendaratan (RM5,445,555,45), tempat letak pesawat (RM176,017.92), aerobridge (RM655,760), kaunter daftar masuk (RM267,367) dan pembayaran lewat (RM339,373.72).

Plaintif mendakwa defendan tidak pernah mempertikaikan kandungan invois dan penyata akaun dikeluarkan syarikat penerbangan itu dalam masa 30 hari.

Sehubungan itu, plaintif menuntut defendan antaranya membayar caj tertunggak berjumlah RM17,747,553.02 kepada syarikat penerbangan itu khususnya RM9,111,402.94 kepada plaintif pertama dan RM8,636,150.08 kepada plaintif kedua, ganti rugi am dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan