EKONOMI

YTL POWER INTERNATIONAL, CELCOMDIGI, MAXIS, U MOBILE MUKTAMADKAN SSA DENGAN DNB, MOF INC.

28/06/2024 09:16 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Empat pengendali rangkaian mudah alih (MNO) mengumumkan bahawa perjanjian langganan saham (SSA) dengan Digital Nasional Bhd (DNB) dan Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc.) telah dimuktamadkan selepas memenuhi semua syarat dalam SSA bersyarat.

Pihak berkenaan iaitu YTL Power International Bhd, CelcomDigi Bhd, Maxis Bhd dan U Mobile Sdn Bhd menandatangani SSA bersyarat pada 1 Disember 2023, untuk membuka laluan kepada peralihan kepada model rangkaian dwi borong (DWN) 5G.

YTL Power International dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini berkata pelaburan dalam DNB menandakan komitmen kumpulan untuk memainkan peranan utama dalam memacu agenda digital Malaysia dan menyokong visi kerajaan untuk persekitaran 5G DWN yang akan memberikan manfaat kepada negara.

Pengarah Urusannya Datuk Seri Yeoh Seok Hong berkata syarikat itu menyokong penuh pelaksanaan berkesan model 5G DWN diumumkan kerajaan, sejajar dengan komitmennya untuk menyampaikan perkhidmatan 5G bertaraf dunia kepada Malaysia.

“Kami sudah bersedia untuk mempercepatkan kejayaan pelancaran 5G di seluruh negara yang merupakan asas untuk melonjakkan industri dan memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Sementara itu, CelcomDigi juga mengumumkan bahawa SSA sudah dimuktamadkan dengan DNB dan MoF Inc. dan memeterai perjanjian pemegang saham (SHA) untuk kepentingan ekuiti dalam DNB.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CelcomDigi Datuk Idham Nawawi berkata kumpulan itu bersedia untuk menerajui pembangunan rangkaian 5G kedua Malaysia.

“Kami teruja untuk beralih ke fasa seterusnya peralihan kepada model rangkaian dwi 5G dan mengambil bahagian dalam proses akan datang untuk membina rangkaian 5G kedua.

“CelcomDigi mengalu-alukan penyelesaian yang memberi manfaat kepada pengguna Malaysia dan industri melalui mekanisme pemilihan dan peralihan adil dan telus, ia akan menggalakkan persaingan sihat dan saksama antara kedua-dua rangkaian 5G dan memajukan pembangunan teknologi serta ekonomi negara,” katanya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Maxis mengumumkan bahawa Maxis Broadband Sdn Bhd telah memeterai SHA dengan DNB, MoF Inc., YTL Power International, Infranation Sdn Bhd serta U Mobile Sdn Bhd.

“SH menetapkan syarat untuk peralihan kepada model rangkaian dwi 5 termasuk opsyen jual dan beli untuk MoF Inc. untuk menjual saham biasa dan memindahkan pendahuluan pemegang sahamnya dalam DNB,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile Wong Heang Tuck berkata peristiwa penting itu mencerminkan sokongan penuhnya terhadap hasrat kerajaan untuk beralih kepada model rangkaian dwi 5G untuk memacu persaingan dan memastikan kemampanan industri telekomunikasi di Malaysia.

“Dengan kekuatan rekod prestasi kami, kepakaran dan infrastruktur rangkaian kalis masa depan, kami percaya U Mobole berada pada kedudukan yang baik untuk melancarkan rangkaian 5G kedua Malaysia,” katanya.

Jumlah pelanggan U Mobile meningkat kepada lebih sembilan juta pada penghujung tahun 2023.

Pada 20 Jun, DNB mengumumkan bahawa semua syarat terdahulu di bawah SSA bersyarat pada 1 Disember 2023 telah berjaya dipenuhi.

Di bawah terma SSA, MNO dijangka secara kolektif memperoleh 70 peratus pegangan ekuiti dalam DNB dengan setiap MNO memegang 14 peratus kepentingan.

Kerajaan Malaysia diwakili oleh MoF Inc. akan mengekalkan 30 peratus kepentingan dan Saham Khas dalam DNB untuk tempoh yang ditetapkan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan