AM

KERAJAAN BERI PERHATIAN SERIUS USAHA ANGKAT MARTABAT SENI, SASTERA NEGARA - PM ANWAR

28/06/2024 10:54 PM

PUTRAJAYA, 28 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan memberi perhatian serius terhadap usaha mengangkat martabat seni, budaya dan sastera negara, selaras ikhtiar yang digariskan dalam gagasan Malaysia MADANI.

Perdana Menteri berkata beliau mengadakan pertemuan dengan tujuh Sasterawan Negara hari ini untuk mendengar sendiri keluhan, teguran dan pandangan, bagi menambah baik usaha pemerkasaan seni, budaya dan sastera negara.

Beliau berkata pada sesi dialog lebih satu setengah jam itu, pelbagai idea bernas dilontarkan para sasterawan, antaranya mewujudkan Majlis Sastera Nusantara sebagai wadah pertukaran idea antara negara-negara nusantara dan merancakkan usaha penterjemahan, selain mempertimbangkan peranan atase kebudayaan.

“Turut dicadangkan menjadikan kawasan sekitar Jalan Belfield dan Jalan Bukit Petaling yang menempatkan pejabat Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Rumah Pena serta Dewan Bahasa dan Pustaka, sebagai lokasi tumpuan dan pertembungan kegiatan sastera, bahasa dan kebudayaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya, di sini hari ini.

Anwar berkata perbincangan itu turut menyinggung soal pembelajaran dan pengajaran karya agung sastera tempatan dan dunia.

Di samping itu, beliau berkata peranan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dalam memastikan program asasi, diploma dan ijazah pertama berkaitan sastera, perlu diberi penekanan lebih mendalam.

“Saya turut menyarankan karya-karya agung Sasterawan Negara diterbitkan dalam bentuk yang lebih menarik, untuk dijadikan cenderahati kepada tetamu kerajaan dan ia juga boleh diedarkan di kedutaan Malaysia di luar negara untuk dijadikan bahan bacaan awam.

“Saya amat menghargai wacana bersama para Sasterawan Negara serta idea-idea yang dikemukakan. Insya-Allah Kerajaan akan memberi perhatian serius terhadap usaha mengangkat martabat seni, budaya dan sastera negara, selaras ikhtiar yang digariskan dalam gagasan Malaysia MADANI,” katanya.

Sesi dialog itu dihadiri sasterawan negara Datuk Dr A Samad Said, Prof Emeritus Muhammad Salleh, Datuk Dr Mohd Anuar Rethwan, Datuk Baharuddin Zainal, Datuk Dr Zurinah Hassan, Prof Datuk Dr Siti Zainon lsmail, Datuk Dr Rahman Shaari.

Turut hadir Pengerusi Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) Noor Amin Ahmad.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan