JENAYAH & MAHKAMAH

LELAKI DITAHAN ISI MINYAK DIESEL BERULANG KALI

28/06/2024 10:55 PM

KOTA BHARU, 28 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menahan seorang lelaki disyaki membuat pembelian minyak diesel secara berulang di sebuah stesen minyak dekat Rantau Panjang pada Rabu lepas.

Pengarah berkenaan Azman Ismail berkata lelaki berusia 30-an itu dikesan membuat pembelian minyak diesel berjumlah RM132.03 pada 12.20 tengah hari dan RM200 selang 55 minit kemudian.

"Lelaki terbabit ditahan bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda disyaki terlibat penyelewengan minyak diesel ketika operasi dijalankan penguat kuasa KPDN Cawangan Pasir Mas dengan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sebanyak 60 liter minyak diesel bernilai RM200 turut dirampas.

Kes katanya disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 manakala stesen minyak itu turut disiasat mengikut akta sama kerana melanggar Arahan Pengawal Bekalan KPDN.

Dalam pada itu Azman berkata pihaknya menyita anggaran 100 liter minyak petrol dalam tangki ubah suai sebuah kereta jenis Perodua Kenari di tepi jalan Kampung Simpangan, Tumpat kira-kira 11 pagi, Rabu lepas.

Pemandu kenderaan yang menyedari kehadiran pasukan ketika melaksanakan Ops Pencegahan Ketirisan Barang Kawalan telah menghilangkan diri dan meninggalkan kenderaannya di bahu jalan, katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan