POLITIK

PRK SG BAKAP: TEMPOH BULAN MADU TAMAT, KEMPEN BERALIH KE FASA KRITIKAL

29/06/2024 02:11 PM

Oleh Ahmad Erwan Othman dan Lucia Terey Anak John

NIBONG TEBAL, 29 Jun (Bernama) -- Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap boleh diibaratkan sudah tamat tempoh 'bulan madu' dan kini beralih kepada fasa kritikal yang mencabar dengan tempoh berkempen berbaki tujuh hari sebelum hari pengundian pada 6 Julai ini.

Ia menyaksikan misi dua parti bertanding iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dengan PH mahu menawan semula kerusi kubu kuat PKR itu, manakala PN perlu mempertahankan kemenangan PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas.

Menyoroti kembali perjalanan minggu pertama kempen kedua-dua parti, calon PH Dr Joohari Ariffin, 60, yang juga bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara dan Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail, 56, mewakili PN, masing-masing dilihat bekerja keras untuk menembusi kawasan pengundi dengan pelbagai program padat setiap hari bermula selepas subuh sehingga lewat malam.

Namun, kelebihan adalah pada Joohari dengan jadual pergerakan setiap hari yang lebih teratur dan sistematik serta dikongsi kepada media setiap malam, berbanding Abidin yang pada peringkat awal kempen dilihat agak sukar untuk bekerjasama apabila petugas media yang membuat liputan berdepan dengan pembatalan saat akhir program yang telah disusun awal sehingga mereka tidak tahu keberadaan calon PN itu.

Menafikan beliau mengelak daripada bertemu media, Abidin menjelaskan beliau berdepan kekangan kerana jadual kempen yang padat setiap hari. 

“Tak elak, bukan ada masalah dan memang ada kerja banyak, dengan ceramah dan pergi sana sini. Kadang-kadang letih juga, saya minta maaf dan memang tak ada isu untuk saya elak media,” katanya ketika menjawab rungutan yang disuarakan oleh petugas media.

Berbeza pula dengan Joohari, beliau terlebih dahulu mengadakan program Ramah Mesra Bersama Media untuk memperkenalkan dirinya selain berkongsi misi dan harapan beliau bagi PRK DUN Sungai Bakap.

Sejak gelanggang kempen dibuka Sabtu lepas, baik Joohari mahupun Abidin kedua-duanya dilihat menekankan kempen secara sihat dan berakhlak tanpa melakukan sebarang provokasi serta serangan peribadi.

Tanpa menjanjikan sesuatu yang tidak realistik, Joohari yang juga bekas guru ketika berkempen sering kali mengingatkan pengundi akan kepentingan untuk mempunyai pendidikan tinggi bagi mengubah taraf kehidupan sedia ada selain berhasrat untuk membawa lebih banyak lagi pembangunan industri termasuk berkaitan ekopelancongan bagi menghidupkan ekonomi bandar kecil tersebut.

Sementara Abidin, walaupun terpalit dengan kontroversi berhubung kelayakan akademik ISO yang dimilikinya, beliau dilihat banyak memainkan naratif isu tempatan dan nasional seperti masalah bekalan air dan kos sara hidup sebagai 'senjata' ketika berkempen dalam usaha memastikan legasi Allahyarham Nor Zamri Latiff yang merupakan penyandang kerusi itu terus dipertahankan di Sungai Bakap.

Mengulas perjalanan kempen dan peluang untuk kedua-dua calon, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian menyifatkan masing-masing mempunyai pendekatan yang hampir sama kerana mereka adalah calon tempatan dan memahami budaya politik, demografi pengundi dan geografi Sungai Bakap, sekali gus menunjukkan kedua-duanya boleh mendapat kepercayaan daripada pengundi.

Beliau berkata walaupun tidak mempunyai pengalaman politik, Joohari mempunyai latar belakang pendidikan yang kuat selain aktif dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sebelum ini dan pernah menjadi guru serta pengarah di Institut Aminuddin Baki. 

“Calon PN pula adalah pegawai khas kepada arwah Nor Zamri Latiff (penyandang kerusi) dulu. Jadi beliau juga mempunyai sentuhan di sana dan saya percaya kedua-duanya cuba merapatkan diri dengan kesemua pengundi tanpa mengira Melayu, Cina dan India kerana di sini, semua pengundi memainkan peranan,” katanya yang percaya hayunan kempen kedua-dua calon pada minggu seterusnya akan lebih agresif.

Memandangkan PAS memperoleh kemenangan 1,563 majoriti pada PRN lepas, Sivamurugan turut mengingatkan PH agar berusaha menyakinkan pengundi UMNO atau atas pagar ini untuk mengundi mereka selain memastikan pengundi India dan Cina juga turut sama keluar mengundi pada 6 Julai nanti.

Katanya walaupun isu nasional penting kedengaran di PRK itu, namun yang lebih mustahak untuk dijelaskan ialah isu-isu setempat seperti bekalan air, banjir, peluang pekerjaan, pendidikan, kesesakan lalu lintas dan juga lambakan pendatang asing di Sungai Bakap kerana ia sudah lama berlaku di situ.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Ainul Adzellie Hasnul berpendapat undi Melayu perlu diberi perhatian buat jentera PH bekerja keras kerana pengundi Melayu yang terdiri daripada 59.4 peratus itu boleh memainkan peranan signifikan menawan kembali kerusi kawasan itu.

“Pengundi bukan Melayu (40.6 peratus) diyakini akan memberikan sokongan kepada Joohari namun bagaimana pula dengan undi Melayu yang diketahui terpecah kepada dua. Isu-isu tempatan dan nasional yang berlegar ini harus diambil kira dan saya kira calon PN mungkin mempunyai kelebihan senjata yang kita tidak ketahui,” katanya.

Mengulas mengenai PN memainkan naratif 'protes kos sara hidup menerusi peti undi' dan 'menang atau kalah tidak mengubah apa apa', Ainul Adzellie berkata walaupun diakui bahawa jika ada berlaku kemenangan di pihak bukan kerajaan, ia tidak akan mengubah apa-apa, namun sebarang keputusan akan memberi satu isyarat sama ada kerajaan atau parti itu semakin kukuh ataupun semakin menghadapi masalah.

“Yang pastinya, memilih wakil dari calon kerajaan memerintah adalah lebih memudahkan bagi penyaluran dari segi komunikasi dan saluran bantuan.

“Penduduk boleh pilih sama ada calon pemerintah atau di pihak pembangkang namun saya percaya PAS akan bekerja keras mempertahankan DUN ini sebab misi dan visi mereka adalah menjurus kepada PRU16 (Pilihan Raya Umum ke-16),” katanya yang menjangkakan peratusan mengundi akan rendah seperti PRK Kuala Kubu Baharu.

Joohari dan Abidin bersaing dalam pertandingan satu lawan satu pada PRK DUN Sungai Bakap 6 Julai ini, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

DUN Sungai Bakap memiliki 39,279 pengundi berdaftar terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan