AM

KERAJAAN SALUR PERUNTUKAN RM1 JUTA BAGI BANDAR SELAMAT TERENGGANU

29/06/2024 03:39 PM

MARANG, 29 Jun (Bernama) -- Sebanyak RM1 juta diperuntukkan oleh kerajaan pusat bagi pelaksanaan Program Bandar Selamat di Terengganu pada tahun ini.

Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Datuk Dr Alias Rameli berkata peruntukan itu telah disalurkan kepada dua pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Daerah Besut (MDB) dan Majlis Daerah Marang (MDM).

Beliau berkata bandar Marang merupakan antara empat bandar diiktiraf sebagai paling bahagia di Terengganu berdasarkan Indeks Kebahagiaan 2023 yang dinilai melalui Penunjuk Pembangunan Mampan Luar Bandar (MURNINets).

"Pencapaian itu juga telah dijadikan sebagai satu kriteria untuk pemilihan bandar Marang sebagai sebuah bandar sihat di Malaysia," katanya ketika berucap di Program Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Taman Rekreasi Pulau Kekabu di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.

Menurut Alias pada tahun ini juga peruntukan sebanyak RM300,000 telah disediakan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk pelaksanaan program ANMS di bandar terpilih di Malaysia termasuk Marang.

Beliau berkata ANMS yang diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 7 Ogos 2020, merupakan tawaran baharu kerajaan dengan pendekatan 'Whole of Nation' iaitu penglibatan secara menyeluruh agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan pihak swasta.

"Di Malaysia aspek kesihatan khususnya kesihatan mental sentiasa menjadi fokus kerajaan. 

"KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) melalui PLANMalaysia telah diberi mandat bagi pelaksanaan teras keempat ANMS iaitu memantapkan kebersihan dan strategi ke-10, mewujudkan persekitaran yang menyokong kesihatan melalui pembudayaan cara hidup sihat dalam kehidupan seharian," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan