AM

RDC WUJUDKAN KESAN BERGANDA SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI SEBAGAI PEMANGKIN EKONOMI

29/06/2024 06:35 PM

SANDAKAN, 29 Jun (Bernama) -- Pelaksanaan inisiatif Ruang Daya Cipta (RDC) dapat mewujudkan kesan berganda dalam menjadikan sains, teknologi dan inovasi sebagai pemangkin ekonomi setempat serta negara dengan pembabitan golongan B40 dan M40.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata melalui RDC masyarakat setempat didedahkan dengan teknologi terkini antaranya pencetak 3D, dron dan robotik yang disediakan di pusat itu.

Beliau berkata turut disediakan studio digital, makmal reka bentuk serta makmal komputer bagi memudahkan pengguna mencetuskan idea dan inovasi seterusnya menghasilkan produk bermanfaat yang dapat meningkatkan tahap ekonomi mereka.

"RDC ini akan memberi peluang kepada masyarakat untuk melakukan aktiviti yang kurang dapat diakses sebelum ini seperti reka bentuk, kreatif dan pemikiran reka bentuk, elektronik dan robotik, realiti maya, fabrikasi dan pertukangan, multimedia, pemprototaipan pantas dan permulaan. 

“Pusat ini adalah antara inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang dilaksanakan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM). Setakat hari ini, 16 RDC telah dibangunkan di seluruh negara termasuk tiga di Sabah iaitu di Sandakan, Kota Kinabalu dan Keningau," katanya ketika berucap merasmikan RDC Sandakan dan sesi penyerahan inovasi di bawah geran program YIM di sini hari ini.

RDC Sandakan yang terletak di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Manila, Batu 12, merupakan RDC pertama dibangunkan di Sabah dan beroperasi sejak Februari tahun lepas.

Mohammad Yusof berkata lokasi RDC Sandakan adalah strategik sekali gus memberi akses mudah kepada penduduk setempat, dan perkara itu perlu dimanfaatkan komuniti sekitar agar dapat meningkatkan cetusan idea kreatif dalam penghasilan produk inovasi.

Dalam pada itu, menurutnya RDC menggalakkan pembabitan semua masyarakat termasuk orang kurang upaya, penduduk luar bandar dan individu profesional yang ingin menambah baik suatu kemahiran dalam membantu membangunkan ekonomi negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan