JENAYAH & MAHKAMAH

LELAKI DITAHAN MENYAMAR POLIS, PERAS UGUT WARGA EMAS

29/06/2024 10:42 PM

KOTA BHARU, 29 Jun (Bernama) -- Seorang lelaki ditahan kerana disyaki menyamar sebagai pegawai polis dan memeras wang daripada seorang warga emas di Kuala Krai, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Supt Mazlan Mamat berkata lelaki berusia 30 tahun itu, ditahan selepas polis menerima laporan pengawal keselamatan berusia 75 tahun.

Beliau berkata mangsa telah didatangi seorang lelaki mengaku sebagai pegawai polis dan memberitahu ingin membuat pemeriksaan ke atas mangsa, kerana dikatakan disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah. 

“Suspek kemudiannya meminta mangsa menyerahkan beg silang miliknya untuk tujuan pemeriksaan dan telah mengambil wang tunai sebanyak RM600,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mazlan berkata suspek kemudian telah mengarahkan mangsa untuk mengambil sebuah motosikal di bahagian belakang kedai, untuk mengikutnya pergi ke balai polis bagi membuat laporan polis namun secara tiba-tiba suspek didapati telah melarikan diri.

Mazlan berkata suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 2 Julai dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan